Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintendan Suffian Abdullah bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Proses pengecaman dan bedah siasat terhadap mayat empat mangsa tanah runtuh di tapak perkemahan Father’s Organic Farm, di sini, yang ditemui semalam selesai dilakukan di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kesemua mayat telah dituntut waris keluarga masing-masing.

“Empat mayat yang ditemui dan dikeluarkan semalam jam 11.04 pagi selesai menjalani proses bedah siasat semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehingga kini seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun masih hilang dalam kejadian awal pagi 16 Disember lalu.

Dalam pada itu katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir ditangguhkan pada jam 5.30 petang disebabkan hujan lebat.

Tambah beliau, pasukan SAR yang memulakan operasi pada jam 8 pagi tadi membabitkan 97 orang pegawai dan anggota pelbagai agensi keselamatan. – MalaysiaGazette