Polis mengawal di kawasan lokasi tembakan di Rue d'Enghien, Paris. foto Twitter

PARIS – Tiga individu termasuk seorang wanita maut ditembak oleh seorang lelaki bersenjata di tengah Paris.

Tembakan itu turut mencederakan tiga yang lain dengan seorang mangsa dilaporkan kritikal.

Penyerang menyasarkan pusat kebudayaan Kurdish dan menembak anggota masyarakat tempatan.

Kemungkinan motif perkauman sedang disiasat.

Seorang suspek, berusia 69 tahun, yang baru dibebaskan dari penjara baru-baru ini telah ditahan.

Lelaki ini pernah didakwa dengan pertuduhan keganasan perkauman, kata Pendakwa Paris, Laure Beccuau.

Insiden itu berlaku ketika suspek menyerang khemah di kem pendatang asing di Paris dengan pedang di Bercy pada 8 Disember 2021.

Setakat ini belum diketahui mengapa dia dibebaskan.

Pertempuran berlaku antara polis dan kumpulan yang telah berkumpul di tempat kejadian selepas serangan itu.

Rakaman menunjukkan orang ramai memulakan kebakaran di tengah jalan dan memecahkan cermin kereta.

Pihak keselamatan yang memakai peralatan rusuhan bertindak balas dengan membaling gas pemedih mata ke arah mereka.

Pergolakan berlaku selepas seorang lelaki, yang disifatkan oleh saksi sebagai tinggi, putih dan tua, menembak mati dua lelaki dan seorang wanita di Rue d’Enghien di daerah ke-10 Paris.

Daripada tiga orang yang cedera, seorang dikatakan dalam keadaan kritikal dan yang lain sedang menerima rawatan kerana cedera parah.

Menteri Dalam Negeri Perancis Gérald Darmanin, yang pergi ke tempat kejadian berkata, pada masa ini tidak diketahui kaitan antara suspek dan kumpulan “ultra-kanan”.

Datuk Bandar tempatan Alexandra Cordebard berkata, lelaki bersenjata itu turut cedera dalam kejadian tembakan itu dan tiga tempat telah diserang iaitu pusat komuniti Kurdish, restoran dan pendandan rambut.

Polis menahan suspek tanpa tentangan dan dilaporkan menemui semula senjata yang digunakan dalam serangan itu.

Pendakwa raya berkata, mereka telah membuka siasatan pembunuhan.

Majlis Demokratik Kurdish di Perancis (CDF-K), yang mengendalikan pusat Kurdish Ahmet-Kaya tersebut mengutuk serangan itu dalam satu kenyataan ringkas.

Akhbar Le Monde memetik Agit Polat, jurucakap pusat itu sebagai berkata, pihak berkuasa Perancis “sekali lagi” gagal melindungi Kurd yang tinggal di Paris.

Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata, masyarakat Kurdish di ibu negara telah menjadi “sasaran serangan keji” dan memuji polis atas “keberanian” mereka.

Tembakan itu berlaku hampir 10 tahun selepas pembunuhan tiga aktivis wanita Kurdish di Paris pada Januari 2013, termasuk pengasas bersama Parti Pekerja Kurdistan (PKK) nasionalis militan.

Seorang lelaki Turki didakwa atas pembunuhan itu tetapi dia meninggal dunia pada 2016 sebelum dibicarakan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast