Ahmad Shabery Cheek hutang peneroka felda
Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Isu keterjaminan makanan negara tidak boleh dilihat dari aspek pertanian semata-mata, sebaliknya pada sudut ekonomi yang lebih luas.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, keterjaminan makanan adalah subjek yang rumit.

Katanya, Singapura tidak menanam dan menternak, tetapi ranking keterjaminan makanan negara itu lebih tinggi dari Malaysia.

Malah, Singapura tidak ada kementerian pertanian pun.

Bekas Menteri Pertanian dan Asas Tani dari 2015 hingga 2018 itu menambah, Thailand hebat dari segi pertanian dan pengeksport beras terbesar di dunia pula mendapat ranking lebih rendah daripada Malaysia.

”Kunci kata paling penting apakah makanan itu mudah didapati dan apakah ia mampu dimiliki? Selain dari faktor kualiti dan selamat dimakan.

”Singapura mendapat skor yang tinggi kerana apa jenis makanan pun mudah diperolehi dan murah bagi rakyatnya. Walaupun terpaksa import. Ia tetap murah kerana nilai matawang mereka kukuh dan pendapatan rakyat mereka tinggi,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Jadi, kata Ahmad Shabery, isu keterjaminan makanan tidak boleh dilihat dari ruang pertanian semata-mata tetapi dari aspek ekonomi lain yang lebih luas.

Misalnya 2008-2020 Malaysia mengalami era “the longest bull run” (kenaikan pasaran saham yang berpanjangan) dalam Bursa Malaysia.

Katanya, walaupun petani tak main saham, tetapi apabila banyak pelabur datang, wang masuk, ringgit menjadi kukuh.

Oleh itu, barang import, makanan ternakan murah dan baja pun murah.

Makanan rakyat pun mudah diperolehi dan rakyat lebih berkemampuan.

”Nampak mudah. Jadi nak tahu kerajaan itu perform (menunjukkan prestasi) atau tidak, mesti dilihat dari sudut ini jugak.

”Era “ longest bull run” bolehlah menjadi sebahagian dari kayu pengukur. Good luck!,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast