Abdul Rahman Mohamad membuat tinjauan di laluan tragedi tanah runtuh di jalan Batang Kali-Genting Highlands

KUANTAN – Kementerian Kerja Raya sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pengguna motosikal menggunakan laluan Batang Kali- Genting Highlands.

Bagaimanapun, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad perkara tersebut hendaklah diteliti dan perlulah mematuhi syarat tiada lagi pergerakan tanah atau pergerakan tanah dalam julat yang dibenarkan setelah tragedi tanah runtuh yang berlaku.

“Saya juga mengambil maklum aduan daripada semua pengguna jalan raya di laluan Batang Kali-Genting Highlands.

“Namun dengan syarat tiada lagi pergerakan tanah atau pergerakan tanah dalam julat yg dibenarkan seperti kurang 10mm dalam tempoh dua minggu ini, sebelum pihak KKR membuat keputusan selanjutnya.

“Yang paling utama adalah keselamatan rakyat dan pengguna apabila melalui jalan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis, menganggap tragedi yang menimpa merupakan ujian yang menimpa bukan sia-sia sebaliknya dilihat sebagai satu detik mengukuhkan penyatuan kaum dalam negara.

“Tragedi Batang Kali ini sebagai satu ujian, namun telah memberi impak yang sangat mendalam kepada kita semua terutama dalam aspek menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Saya sendiri telah melawat lokasi insiden di hari pertama tragedi berlaku dan sangat mengikuti rapat setiap perkembangan kejadian.

Tambah Abdul Rahman insiden itu di sebalik itu jelas tergambar semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak.

Ia bermula daripada pasukan mencari dan penyelamat (SAR), petugas media, pasukan kesihatan, termasuklah seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesemua mangsa supaya dapat ditemui dengan segera.

“Dapat juga dilihat pasukan SAR yang berkerja sepenuh jiwa dan raga membantu sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan bangsa.

“Cantik aturan Yang Maha Esa, di saat negara mula bersatu membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan, kita diuji pula dengan beberapa insiden yang punyai hikmah yang sangat luas. Percayalah, jika hujan kita ibaratkan seperti ujian, maka pelangi yang muncul selepas hujan itulah hikmahnya. Tidak ada satu yang Allah jadikan itu sia-sia.

“Buat semua yang terlibat, ini bukanlah satu tugas yang mudah, namun keazaman yang tinggi inilah mengatasi segalanya. Tahniah sekali lagi buat semua pasukan yang terlibat dalam misi pencarian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast