Pasukan Operasi SAR membawa empat mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 21 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Hari ini genap hari ke-9 operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong yang sudah bermula seawal jam 8 pagi tadi.

Namun setakat artikel ini ditulis sekitar jam 10 pagi, pasukan mencari dan menyelamat ini masih lagi belum berjaya mencari mangsa terakhir juga seorang kanak-kanak lelaki.

Melalui pengamatan MalaysiaGazette yang telah sampai ke lokasi dikenali sebagai ‘ground zero’ ini, sudah nampak kelibat pelbagai agensi yang terlibat sudah memulakan misi pagi ini malah empat ekor anjing pengesan (K9) juga sudah dikerahkan masuk ke kawasan tumpuan pencarian mangsa.

Cuaca juga bagi operasi SAR hari ini amat baik sejak awal pagi dan pada bila-bila masa taklimat serta maklumat berhubung perkembangan SAR akan dimaklumkan kepada pengamal media yang masih membuat liputan sejak hari pertama tragedi.

Untuk makluman, semalam operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan sekitar jam 8.30 malam berikutan keadaa cuaca dan dimaklumkan akan hanya menyambung misi itu pada pagi ini.

Kelmarin operasi SAR menemukan empat lagi mayat pada 11.04 pagi, melibatkan seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam satu gulungan kanvas khemah. 

Penemuan tersebut sekali gus menjadikan angka kematian dilaporkan dalam tragedi itu sebanyak 30 orang, manakala jumlah mangsa yang selamat adalah seramai 61 orang.

Polis semalam mengesahkan jumlah rasmi dan sebenar kesemua mangsa terlibat adalah seramai 92 orang dan bukannya 94, seperti yang dikeluarkan sebelum ini.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, jumlah baharu itu diperoleh setelah perkiraan dan semakan semula yang dibuat beberapa kali, berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk ahli keluarga.

Tragedi tanah runtuh berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 30 nyawa terkorban manakala seorang lagi masih hilang daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast