Chow Pui Hee (kanan) dan Poh Heng merasmikan penggunaan solar di Sunway Nexis.

KUALA LUMPUR – Samaiden Group Berhad (Samaiden) secara rasmi memulakan operasi projek pelaburan solar pertama di Sunway Nexis, sebuah pembangunan bercampur-campur.

Projek tersebut dioperasikan oleh anak syarikat milik penuh Kumpulan, Samaiden Capital Management Sdn Bhd dengan mengendali dan menyelenggara sistem PV solar atas bumbung dengan kapasiti terpasang 531kWp untuk tempoh 20 tahun.

Berdasarkan penjanaan 12.5 juta kilowatt jam (kWj) dalam tempoh 20 tahun, ia boleh mengurangkan kira-kira 8,400 tan pelepasan karbon.

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee berkata, sebagai sebahagian daripada pelan kepelbagaian untuk syarikat, Samaiden gembira melihat projek pelaburan pertama ini disiapkan, yang mana Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) telah ditandatangani dengan Perbadanan Pengurusan Sunway Nexis (Sunway Nexis Management Corporation) pada Disember 2021.

”Ini adalah peristiwa penting bagi kami kerana kemudahan ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aliran tunai kami secara berulang selama 20 tahun.” katanya di sini.

Sementara itu Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sunway Nexis, Teo Poh Heng berkata, pihaknya mesti menumpukan pada masa depan planet dan menekankan kelestarian tenaga boleh diperbaharui (RE) dan Sunway Nexis gembira untuk bekerjasama dengan Samaiden sebagai Solar Photovoltaic (PV).

“Pelaburan ini sudah tentu akan membantu meningkatkan kesedaran dan faedahnya kepada pemilik dan penyewa bangunan.

“Kami berterima kasih kepada Samaiden kerana mengambil inisiatif berani ini untuk melabur dalam Solar PV untuk Sunway Nexis, selaras dengan inisiatif negara kita dalam melaksanakan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di tempat kerja,” katanya.

Beliau menambah, dengan pengumuman baru-baru ini oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai surcaj 20 sen/kWj yang akan dikenakan kepada pengguna industri voltan sederhana dan voltan tinggi termasuk syarikat multinasional, Poh Heng menjangkakan sistem PV solar akan menjadi alternatif terbaik untuk mereka gunakan untuk mengurangkan bil elektrik mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast