Temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di UBN Apartment, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan mana-mana pihak mahupun individu tidak seharusnya menyekat amalan demokrasi yang telah lama subur dalam UMNO.

Bekas Ahli Parlimen kawasan itu berkata, UMNO parti tunjang orang Melayu yang mengangkat amalan demokrasi perlu lebih terbuka dan menjadi contoh kepada parti lain dengan membenarkan pemilihan semua jawatan yang dipertandingkan dalam parti itu.

“Kita sepatutnya bergerak ke depan bukan ke belakang dengan cadangan-cadangan lapuk yang langsung tidak mengambarkan UMNO sebuah parti yang menjunjung amalan demokrasi.

“Sekiranya benar ada usaha untuk menghalang pemilihan jawatan tertentu dalam parti nampaknya UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

“Ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam UMNO selepas prestasi buruk kita pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah menurut Nazri, jika terdapat usaha untuk menghalang jawatan tertentu tidak dipertandingkan, UMNO akan menjadi sebuah parti yang tidak lagi demokratik.

Bekas Menteri Pelancongan itu turut menyifatkan pihak yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti seolah-olah memandang rendah keupayaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, kedua-dua pemimpin ini telah membuktikan kehebatan masing-masing dengan memenangi pemilihan lalu tanpa sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Masa jadi pembangkang boleh ada pertandingan, bila dah jadi kerajaan tidak mahu ada pertandingan, tidak cerdik sangat cadangan ini? Mereka ini semua anggap Zahid macam tidak ada maruah.

“Kena ingat, Zahid adalah orang yang membenarkan jawatan Presiden dipertandingkan pada 2018, beliau berani dan kerana keberanian itu beliau menang kerana ahli-ahli UMNO mahu amalan demokrasi dalam parti subur.

“Sebelum ini, kita kata tidak mahu ada pemilihan sebab nak fokus PRU15 dan tidak mahu ada perpecahan dalam parti, kalau selepas PRU15 masih tidak mahu ada pemilihan, bila boleh? Nak tunggu selepas PRU16? Takut nanti selepas PRU16, UMNO sudah tidak ada lagi,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, Ahmad Zahid dan Mohamad Hasan menang jawatan masing-masing ketika pemilihan tahun 2018 tatkala UMNO menjadi pembangkang.

Tambah Nazri, mana-mana pihak yang mencadangkan agar jawatan nombor satu dan dua dalam UMNO tidak dipertandingkan perlu melihat keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menguji keabsahannya.

“Kita sekarang sudah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), satu kerjasama yang pernah saya cadangkan pada 2019 hingga saya diperlekehkan oleh sesetengah pihak yang sekarang ini menyokong usaha ini.

“Bila kita sokong dan adakan kerjasama sepatutnya kita contohi juga amalan demokrasi dalam parti-parti PH macam PKR dan DAP yang berani buat pemilihan sebelum PRU15 lalu.

“Mereka suburkan amalan demokrasi dalam parti mereka tetapi kita ada pula yang masih berfikiran 30 tahun ke belakang, mahu jawatan Presiden dan timbalan tidak dipertandingkan.

“Dengan pemilihan ini, Zahid dapat membuktikan bahawa beliau ada sokongan dan keputusan bekerjasama dengan PH mendapat restu ahli-ahli UMNO,” katanya lagi.

Pada 29 Julai lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan permohonan berkaitan perlembagaan dengan sedikit pindaan.

RoS bersetuju kepada pindaan perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti itu di semua peringkat diadakan tidak melebihi enam bulan selepas sesuatu PRU15 diadakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast