UPM

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki tangga ke-25 bagi ‘UI-GreenMetric World University Ranking 2022 Top 50 Sustainable Universities’ sekali gus mengekalkan universiti terbaik Malaysia dalam senarai itu.

UPM sebelum ini ditangga 27 universiti paling lestari dunia mencatatkan kenaikan dua anak tangga seperti yang diumumkan oleh badan penarafan dunia UI GreenMetric yang memfokuskan kepada enam skop utama iaitu infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan pendidikan.

UPM telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Record (MBOR) atas usaha memperkasa penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi projek Agrovoltaic.

Projek tersebut merupakan projek solar yang menempatkan pokok herba sebagai sumber penyejuk panel solar selain mempunyai bumbung tempat letak kereta yang diperbuat daripada panel solar.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, kejayaan UPM dalam mengekalkan universiti paling lestari selama 13 tahun berturut-turut ini merupakan komitmen jitu universiti dalam memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Kejayaan UPM juga akan terus diperkasakan melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum serta sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.

“UPM akan berusaha untuk menjadi sebuah kampus yang bukan sahaja memfokuskan pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi berperanan sebagai sebuah institusi ilmu yang melahirkan insan yang cakna terhadap pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Penarafan yang diumumkan pada 12 Disember lalu turut mengumumkan UPM berada di tempat kedua sebagai universiti paling lestari di Asia, naik satu anak tangga dari tahun yang sebelumnya.

Jelas Mohd Roslan, pencapaian ini adalah selaras dengan Matlamat Ke-5 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Memperteguh Tadbir Urus Institusi, Kemampanan Kewangan dan Amalan Kelestarian Hijau.

“Pada tahun ini, lebih banyak penyertaan universiti-universiti dari seluruh negara yang dilaporkan iaitu sebanyak 1,050 buah universiti membuktikan sokongan institusi pendidikan dalam menyokong agenda kelestarian,” katanya. -MalaysiaGazette