KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan pemeriksaan ke atas 4,730 buah premis di seluruh negara menerusi Ops Terjah dalam tempoh 10 hari pelaksanaannya, bermula 16 Disember lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,220 premis dikesan mempunyai masalah kekurangan bekalan di seluruh negara terutama melibatkan telur ayam dan juga minyak masak paket.
“Barangan keperluan asas seperti telur, gula, tepung gandum diperiksa bagi mengenalpasti punca utama kenapa berlakunya isu rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas.
“Melalui dapatan daripada Ops Terjah ini, KPDN akan mengambil langkah perlu untuk memastikan kestabilan bekalan barangan di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di Pasaraya Fresh Choice, Taman Tas, di sini, hari ini.
Hadir pada pemeriksaan itu ialah Exco Kerajaan Negeri Pahang, Sim Chon Siang, Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Azman Adam dan Pengarah KPDN Pahang, Datuk Mark Ujin.
Sementara itu, Fuziah sempat meninjau operasi pembungkusan minyak masak polibeg 1 kilogram (kg) bersubsidi di Syarikat Palma Unggul Enterprise, di sini dan melawat stesen minyak Shell di Taman Tas.
“Tujuan pemeriksaan ini bagi memastikan bacaan liter minyak yang diisi dan nilai yang dibayar oleh pengguna adalah tepat. Selain itu, lawatan ini juga merupakan libat urus bagi mendapatkan input dan data pengoperasian daripada pengusaha stesen minyak,” ujarnya. – MalaysiaGazette