Pasukan SAR melakukan kerja-kerja 'flushing' (pembersihan) selepas mayat terakhir dijumpai semalam sekitar lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 DISEMBER 2022.

BATANG KALI — Tamat sudah misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini apabila kesemua mangsa berjaya ditemui.

Pegawai Bomba Kanan 1 Unit Pengesan K9, Mohammed Sallme Ja’afar berkata, operasi SAR yang mengambil masa sembilan hari sememangnya memberi kesan mendalam apabila melihat kesan runtuhan yang mengorbankan 31 daripada 92 mangsa.

Temubual bersama Pegawai Bomba Kanak 1 Unit Pengesan K-9, Mohammed Sallme Ja’afar mengenai misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 DISEMBER 2022.

“Pengalaman dari pagi ke pagi, banyak yang kami lalui. Agak sedih sebab kita lihat kejadian ini yang memang tak diingini.

“Kita dah tahu musim sekarang ini ada hujan, ribut dan sebagainya, elakkan berada disini.

“Kepada yang mendengar, memerhati dan mengetahui (tentang kejadian), tolong beri ingatan kepada kenalan dan ahli keluarga, jadikan ingatan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette sewaktu melakukan Op Flushing atau pembersihan di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Mohammed Sallme, pengalaman menyertai pasukan SAR di Batang Kali jauh lebih besar biarpun beliau pernah terlibat dalam tiga operasi besar termasuk tragedi Highland Tower.

Gelagat anjing Unit K-9 ketika mereka diberi ‘reward’ oleh anggota bomba berikutan kejayaan menjumpai mayat-mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 DISEMBER 2022.

“Kita guna anjing pengesan bagi mengesan mangsa-mangsa yang terlibat di lokasi (tanah runtuh) yang mana kita dah mengenal pasti ada mangsa, dan kemudian gunakan jentera berat untuk mengorek (tanah).

“Kita telah menemui mangsa seramai 31 orang yang meninggal dunia, terakhir semalam seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Gelagat anjing Unit K-9 ketika mereka diberi ‘reward’ oleh anggota bomba berikutan kejayaan menjumpai mayat-mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 DISEMBER 2022.

“Antara barang-barang yang dijumpai adalah botol susu, puting kanak-kanak, susu. Sedihlah, kita jumpa yang pertama lebih kurang umur setahun,” katanya.

Operasi berkenaan diaktifkan selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 2.42 pagi pada 16 Disember 2022 lalu.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A (Hill View), satu dalam sektor B (Farm View) dan 10 lagi di sektor C (River Side).

Baki 61 pengunjung tapak perkhemahan itu dilaporkan selamat.

Operasi SAR ini melibatkan kekuatan melebihi 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi serta khidmat 10 ekor anjing Unit Pengesan (K9) milik JBPM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain penggunaan sembilan jengkaut untuk mengorek tanah.

Pasukan SAR mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highland, ditamatkan secara rasmi pada jam 12 tengah hari, hari ini. – MalaysiaGazette