KUANTAN – Mayat pekerja penyelenggaraan dan pembersihan, Abdul Wahab Mat Sulaiman yang dipercayai lemas ditemui di tingkat 2 Lata Tembakah jam 8 pagi tadi, selepas empat hari operasi pencarian dilakukan.
Menurut kenyataan Bilik Gerakan Bencana Banjir Terengganu, mayat mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat.
Dalam kejadian 22 Disember lalu, Abdul Wahab, 25, dilaporkan terjatuh ketika membaiki saluran paip di tingkat lima lokasi bersama adiknya.
Beliau dikhuatiri lemas selepas tergelincir dari tingkat lima air terjun di Taman Rekreasi Lata Tembakah, Sungai Tenang lalu terjatuh ke bawah dasar air terjun.
Mangsa merupakan pekerja sebuah syarikat kontraktor di hutan lipur itu berusaha membaiki saluran paip yang rosak akibat arus deras sungai ketika musim banjir.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh lapan pegawai dan 77, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan dan beberapa penduduk kampung di sekitar Jertih.
Selain itu pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih turut mengerahkan 12 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) mencari mangsa. – MalaysiaGazette