KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku banjir kilat di beberapa lokasi di Sabah dalam tempoh 12 jam.
Menerusi posting di Facebook, agensi itu memaklumkan, lokasi terlibat adalah di Kota Marudu, Kudat, Pitas, Sandakan dan Paitan.
Ramalan itu dibuat berdasarkan maklumat daripada Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).
Katanya, terdapat risiko kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku.
Menurut Nadma, notis kesiapsiagaan yang dikeluarkan pada jam 3.15 petang itu adalah bagi membolehkan semua penduduk di kawasan berisiko berwaspada dengan sebarang kemungkinan.
Sehubungan itu, agensi itu meminta penduduk mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana banjir.
Orang ramai disaran supaya melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook@PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette