Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pasukan Operasi SAR ketika hadir untuk meninjau proses 'flushing' (pembersihan) lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 DISEMBER 2022.

BATANG KALI — Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highland, di sini, ditamatkan secara rasmi pada jam 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keputusan itu dibuat selepas pasukan SAR memuktamadkan tiada lagi mangsa dalam tragedi jam 2.30 pagi 16 Disember lalu yang dilaporkan masih hilang atau belum ditemui.

Bagaimanapun menurut beliau, urusan-urusan teknikal di lokasi kejadian akan diteruskan oleh beberapa agensi berkaitan.

Antaranya termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Daerah Tanah Selangor,  Jabatan Penerangan (JAPEN) Selangor.

“Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), MPHS, Sapura, Jabatan Kebajikan Malaysia (JPM), JKR, JMG, Telekom Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang selama ini menyumbangkan sumber manusia dan juga aset jentera bagi memudahkan urusan JBPM yang meneraju Op SAR ini.

“Inilah satu-satunya operasi yang setiap agensi memainkan peranan sesuai dengan yang digaris pandukan dalam Arahan 20 MKN dan tiada pertindanan tugas sepanjang misi, sekali gus menjadi rujukan bagi apa-apa kerjasama pengurusan bencana yang mungkin berlaku pada masa depan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

 

 

Semalam MalaysiaGazette melaporkan tragedi tanah runtuh di Batang Kali ini meragut 31 nyawa, senentara 61 individu selamat dari keseluruhan 92 mangsa yang terlibat.

Mangsa terakhir tragedi ini ditemui semalam, iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Difahamkan, mayat itu ditemui pasukan SAR di Sektor A (Hill View) yang menjadi tumpuan utama pencarian pada jam 4.53 petang semalam.

19 daripada 30 mayat mangsa sebelum ini ditemukan di Sektor A (Hill View), 10 di Sektor C (Riverside) dan seorang di Sektor B (Farm View).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast