KUANTAN – Polis menyiasat kes seorang remaja perempuan maut tertimbus tanah dalam sebuah perigi di Lanchang pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, keterangan saksi akan diambil bagi melengkapkan siasatan.

“Pengadu telah mengarahkan mangsa masuk ke dalam perigi yang baru digali sedalam 10 kaki untuk membaiki gelung di dalam perigi berkenaan dalam insiden jam 11 pagi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 23 Disember lalu, dinding perigi tersebut runtuh secara tiba-tiba dan menimbus mangsa ketika dia sedang membaiki gelung dalam perigi berkenaan.

Menurut Mohd Azhar, mangsa yang berumur 15 tahun berjaya dibawa keluar dan dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun beliau disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, ujarnya.

Menurut Mohd Azhar, kes yang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette