KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli didakwa gagal mengemukakan faktor sebenar yang menjadi punca kenaikan harga barang makanan sama ada ketiadaan bekalan, kenaikan kos atau peningkatan permintaan.
Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, Rafizi juga tidak menyentuh secara keseluruhan langkah-langkah drastik mengurangkan konsistensi kadar inflasi subsektor makanan dan minuman bukan alkohol iaitu 7.3 peratus pada November 2022 yang menjadi bahagian besar atau 30 peratus daripada perbelanjaan isi rumah.
“Harga barang makanan tidak rasional dan memerlukan intervensi serta penguatkuasaan lebih kuat oleh kerajaan. Bukan hanya menyuruh rakyat kurang makan ayam!
“Mekanisme subsidi bersasar telah disebut oleh Perdana Menteri pada hari pertama pentadbirannya tetapi masih belum dilaksanakan. Rafizi hanya mengulang perkara yang sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam sidang media kelmarin, Rafizi berkata, pengguna perlu memainkan peranan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelumnya.
Beliau memberikan gambaran, peniaga dan pembekal tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan seandainya pengguna tidak membeli atau tidak menggunakan produk yang ditawarkan pada harga tidak berpatutan.
Khairil Nizam memberitahu, bagi isu kenaikan harga telur dan ayam, ia mungkin disebabkan oleh pihak penternak yang mengalami masalah kenaikan kos pengeluaran dan aliran modal.
Beliau menambah, ia juga mungkin disebabkan monopoli dan manipulasi bekalan namun perkara itu tidak disentuh dengan terperinci dalam kenyataan Rafizi kelmarin.
Khairil Nizam berpandangan, langkah mengimport telur tidak menyelesaikan masalah secara tuntas.
“Menurut Pengarah Urusan Mydin, harga telur import gred C (50 sen sebiji) lebih mahal daripada telur gred A tempatan (45 sen sebiji).
“Malah, ia melangkaui harga siling ditetapkan kerajaan. Isu bekalan telur mungkin selesai tetapi masalah utama kenaikan harga yang ditanggung rakyat dan menangani isu monopoli tetap tidak terjawab,” jelasnya. – MalaysiaGazette
Kurangkan makan di restoran walaupun mampu bayar makanan restoran lebih mahal.