BALIK PULAU – Wakaf Pulau Pinang (WPP) bakal melaksanakan Projek Perumahan Wakaf Mutiaraku membabitkan pembinaan 1,088 unit pangsapuri jenis rumah mampu milik di Lot 247 Jalan Sungai Nipah, Pulau Betong.
Ketua Pegawai Eksekutif WPP, Rosidi Hussain berkata, kos pembangunan berjumlah RM426 juta itu merupakan hasil kerjasama pintar WPP bersama Rekabina Jaya Sdn. Bhd. dalam memastikan pembangunan ekonomi dan kebajikan komuniti.
Jelas beliau, selain 1,088 unit rumah, pembinaan itu turut merangkumi 74 lot komersial serta kemudahan lain yang dijangka siap dalam tempoh 36 bulan bermula pada Julai 2023 ini.
“Ia menjadikan keseluruhan pembangunan Wakaf Al-Mashoor sebagai teras model pembangunan hartanah wakaf di Pulau Pinang yang meliputi semua aspek termasuk pendidikan, perumahan dan komersial bagi membentuk bandar berdaya huni dengan penerapan nilai lestari.
“Ia juga akan beri pulangan jangka panjang berterusan kepada MAINPP seperti pembinaan dewan pelbagai guna, astaka, kemudahan bagi Kompleks Sukan dan Rekreasi Al-Mashoor dan lain-lain,” katanya pada Majlis Peletakan Batu Asas Pembangunan Wakaf Al-Mashoor Al-Islami Fasa 2 di sini.
Terdahulu, pada majlis itu turut diadakan gimik peletakan batu asas yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dengan menurunkan tandatangan pada batu berkenaan.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Pengerusi Rekabina Jaya Sdn Bhd, Tan Sri Izzuddin Dali.
Mengulas lanjut, Rosidi berkata, inisiatif pembangunan projek Wakaf Al-Mashoor Al-Islami Fasa 2 itu kelak turut fokus kepada pertumbuhan ekonomi, kebajikan komuniti setempat selain mewujudkan peluang pekerjaan serta menarik pelaburan baharu menerusi projek kerjasama pintar yang dilaksanakan.
“Pembangunan projek itu bakal memberi pulangan hasil dan impak yang besar terhadap kemajuan negara serta ekonomi umat Islam secara khususnya menerusi penyediaan infrastruktur perumahan lebih terancang dan kondusif terutama bagi golongan B40 dan M40 serta eksekutif muda berkelayakan di Pulau Pinang.
“Langkah ini dapat membantu kerajaan negeri dalam mencapai sasaran penyediaan sebanyak 220,000 unit rumah mampu milik mengikut inisiatif strategik kerajaan negeri dalam menangani isu kemampuan dan kepelbagaian perumahan di negeri ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette