SEPANG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam proses memuktamadkan garis panduan yang menguruskan pembangunan sukan elektronik atau e-sukan di negara ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, proses itu kini berada di dalam fasa terakhir sebelum dilaksanakan.
Garis panduan itu sebenarnya sudah disiapkan lama tetapi kini sedang diperhalusi lebih mendalam sebelum memuktamadkannya peringkat KBS, katanya.
“Garis panduan e-sukan ini sangat penting untuk kita menguruskan tatakelola sukan itu secara lebih teratur agar terlindung.
“Ia juga merangkumi pengurusan data perlindungan membabitkan penggiat e-sukan dan kos etika perlindungan sains e-sukan agar diperluaskan dalam kalangan komuniti secara selamat.
“KBS akan mengumumkan kelak dan ia tidak perlu dirujuk kepada mesyuarat Kabinet memandangkan ia adalah di bawah rancangan KBS,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Beliau berkata demikian selepas hadir untuk flagg off an menyampaikan bendera Jalur Gemilang kepada pasukan muda e-sport HAQ dan Todak yang akan membawa cabaran negara ke kejuaraan e-sport dunia yang akan berlangsung bermula 1 Januari ini di Jakarta, Indonesia.
Tambah Adam, penyediaan garis panduan e-sukan akan membolehkan ia dimasukkan dalam senarai aktiviti sukan jadual 1 di bawah Jenis-Jenis Sukan di bawah Jadual 1Akta Pembangunan Sukan 1997 Pindaan 2004 dan ia akan menjadi agenda utama pada tahun 2023.
Malah, katanya, pihaknya juga mengadakan sesi libat urus dan perbincangan dengan pemegang taruh dan penggiat sukan elektronik dalam negara ini bagi mendapatkan input mereka untuk pembangunan sukan itu dan kajian selidik sedang dilaksanakan ketika ini.
Ujar beliau, seramai 10,000 pemegang taruh dilibatkan dalam kaji selidik itu yang sedang dilaksanakan oleh KBS.
“Garis panduan e-sukan ini sangat penting untuk memastikan sukan itu tidak terbantut dan mempunyai satu tatakelola yang teratur dan baik.
‘E-sport satu sukan yang tumbuh dengan begitu rancak dalam negara ini terhadap komuniti Malaysia dan garis panduan ini akan memastikan ia mempunyai organisasi yang tersusun ke arah pembangunan yang padu.
“Garis panduan berkenaan juga akan membantu golongan belia kita yang berkecimpung dalam sukan itu sekaligus menjadi mekanisme yang sangat efektif melindungi data penggiat sukan itu kelak selain boleh mengetahui cabaran-cabaran mendatang,” tegasnya. – MalaysiaGazette