Gambar hiasan

PULAU PINANG – Dengan andaian bahawa pilihan raya negeri akan diadakan pada Jun tahun depan, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang akan mengoptimumkan lima bulan yang ada untuk mempromosikan pandangan politik yang matang dalam golongan ” Undi 18″.

Usaha itu dilakukan susulan jangkaan bahawa TikTok akan menjadi alat kempen yang penting dalam pilihan raya negeri.

EXCO Belia dan Sukan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee berkata, program pendidikan itu bertujuan memastikan pengundi tidak dipengaruhi sepenuhnya oleh “politik TikTok”.

Lip Chee tidak menafikan bahawa undi orang muda berpihak kepada PN dalam pilihan raya umum sehingga menampakkan trend pengundian yang baharu.

Susulan daripadanya, Lip Chee berkata, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang akan mempergiatkan usaha di institusi pendidikan untuk mempromosikan pandangan politik yang matang dan memperluaskan pandangan orang muda.

“Kami berharap dapat berkongsi dengan orang muda supaya mereka boleh menilai perkembangan yang berlaku secara bebas dan bukannya dipengaruhi atau dikelirukan oleh TikTok,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat dan menerima wawancara Kwong Wah Yit Poh di Pulau Pinang.

Lip Chee berkata, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang
akan menjemput Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama-sama memasuki institusi pendidikan dan mempromosikan pandangan bebas dalam menentukan calon pilihan seseorang pengundi.

Dalam pada itu, Lip Chee berkata, memandangkan Dewan Undangan Negeri Selangor akan “matang” pada 27 Jun, maka pilihan raya untuk tiga negeri tadbiran PH dijangka akan diadakan secara serentak pada Jun.

“Oleh itu, kami perlu berusaha dalam tempoh lima bulan akan datang untuk melaksanakan semua program besar-besaran dan menyiapkan semua projek kemudahan sukan sebelum Jun sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri,” katanya.

Menurutnya, selain program “Undi 18”, program lain adalah mempelawa pakar dalam pelbagai bidang untuk memasuki sekolah untuk berkongsi tentang alam pekerjaan yang berlainan

Selain itu, katanya, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang juga akan membawa pelabur besar di Pulau Pinang untuk menjelajah dan mengenal pasti bakat di universiti seluruh negara.

Jelasnya, walaupun terdapat banyak kilang besar di Pulau Pinang, tetapi mereka selalu berdepan masalah kekurangan jurutera, khususnya dalam bidang kejuruteraan elektrik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast