Antara kawasan Flat Seri Perlis 2 berikutan penduduk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula janji sewa beli yang diberi jaminan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekitar tahun 80-an untuk memberi pemilikan kepada penduduk di situ ketika di Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 300 penduduk Perumahan Awam Seri Perlis, Datuk Keramat minta Kerajaan Perpaduan mengkaji semula janji mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memberi pemilikan kepada penyewa yang membuat sewa beli melebihi 10 tahun.

Janji itu didakwa dinyatakan oleh Dr. Mahathir sekitar 1980-an masih tidak dilaksanakan sehingga kini walaupun mereka sudah menyewa lebih 40 tahun di perumahan itu.

Menurut Ahli Jawatankuasa Penaja Persatuan Penduduk Perumahan Awam Seri Perlis 2, Norasyimah Daud, mereka membuat gesaan itu kepada Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ada ura-ura perumahan itu akan dirobohkan.

Katanya, jika hak yang dijanjikan pada tahun 80-an itu tidak dilaksanakan sekarang, ia bermakna mereka boleh diusir bila-bila masa tanpa mendapat sebarang pampasan untuk berpindah ke tempat baharu.

“Kami ada dengar, Perdana Menteri yang baharu ada menyebut perumahan ini akan diroboh dan dibangunkan semula. Kami tidak pasti dengan kenyataan atau hasrat kerajaan itu.

“Cuma, kami di sini yang telah menyewa hampir 42 tahun minta kerajaan mengkaji semula janji itu. Sehingga kini, kami telah membayar sewa dan masih berstatus penyewa.

“Sedangkan kami pernah ditawarkan oleh PM dahulu (Dr. Mahathir) untuk penyewa lebih 10 tahun boleh mendapat pemilikan dari sewa beli itu,” katanya pada sidang media khas bersama Pengarah Komunikasi Parti Amanah, Khalid Abd. Samad di sini hari ini.

AJK Penaja Persatuan Penduduk Perumahan Awam Seri Perlis 2, Norasyimah Daud bercakap kepada media meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula janji sewa beli Flat Seri Perlis 2 yang diberi jaminan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekitar tahun 80-an untuk memberi pemilikan kepada penduduk di situ ketika di Pejabat KRT Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 DISEMBER 2022.

Ujar Norasyimah, selepas itu sehingga sekarang tidak berlaku pemilikan yang dijanjikan malah dalam masa 10 tahun kebelakangan ini ada isu perumahan berkenaan akan dirobohkan, tetapi tidak dimaklumkan terus kepada penduduk.

Beliau berharap, Anwar mendengar keluhan mereka dan menyempurnakan janji berkenaan agar penyewa berkenaan dapat memiliki rumah itu.

Sementara itu, Khalid berkata, kerajaan baharu wajar memberi peluang kepada penyewa berkenaan, yang seratus peratus orang Melayu memiliki kediaman berkenaan dengan dikenakan harga munasabah.

Katanya, anggaplah bayaran sewa beli mereka sebelum ini sebagai deposit dan membenarkan penyewa berkenaan memiliki rumah itu.

“Berilah peluang untuk mereka memiliki rumah ini. Mereka sanggup bayar, asalkan ditawarkan harga munasabah.

“Kalau dirobohkan juga, status mereka sebagai penyewa tidak dapat apa-apa. Mungkin mereka akan diusir sebab mereka tidak ada hak, mereka hanya penyewa.

“Kita harap juga Anwar bersedia menerima kunjungan kami. Inilah peluang nak tolong orang Melayu. Jangan cakap saja nak tolong Melayu, inilah masanya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast