Peniaga ‘Liyana Murtabak’ mampu menjual 1,200 biji martabak sehari di bazar Ramadan sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang.- Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempelawa individu yang ingin mendapatkan Permit Sementara Bermusim bagi bazar Ramadan tahun 2023 mengemukakan permohonan yang dibuka sejak 22 Disember lalu.

Ahli Majlis, Ahmad Azrizal Tahir berkata, permohonan hanya boleh dibuat melalui portal https://elesen.mbpp.gov.my sehingga 20 Februari 2023.

Jelas beliau, pemohon diminta untuk mengemukakan dokumen yang lengkap supaya permohonan dapat diproses termasuk mengemukakan nombor telefon atau emel bagi mudah dihubungi pihak MBPP.

Ahmad Azrizal.

“Selain itu, pemohon perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan antaranya, saiz gerai mengikut kelulusan MBPP; perlu mendapatkan suntikan tifoid yang sah tempoh bagi jualan makanan dan warga asing tidak dibenarkan memohon ataupun mengurus jualan.

“Malah, peniaga juga perlu menyediakan tong sampah bertutup yang bersesuaian saiz; perlu memakai apron, topi dan sarung tangan semasa mengendalikan makanan; penggunaan bekas polisterin tidak dibenarkan dan tidak boleh meletakkan barang-barang jualan di sesiaran kaki gerai,” katanya.

Syarat pemohonan yang dimuat naik di Facebook rasmi MBPP.

Tambah Ahmad Azrizal, jualan mercun dan bunga api tidak dibenarkan bagi permohonan permit tersebut.

“Selain itu, peniaga juga disarankan menggunakan transaksi tanpa tunai atau cashless serta membawa bekas sendiri (Bring Your Own Container, BYOC) dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

“Tindakan akan diambil terhadap mereka yang beroperasi tanpa kelulusan pihak MBPP,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast