Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – UMNO akan dianggap sebagai yang tidak lagi mengamalkan demokrasi jika usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Malah akan dilabel parti diktator, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed.

Menurutnya, jika ada usaha untuk menyekat amalan sedemikian benar-benar berlaku, maka ia pasti akan membawakan kesan buruk kepada UMNO.

Menurutnya, perebutan kerusi nombor satu parti itu perlu diadakan supaya suara akar umbi dapat diterjemahkan dalam bentuk undi dan ia sekali gus membuktikan keabsahan jawatan Presiden itu sendiri.

“Presiden ketika ini sering berkata, jika hendak bersuara perlu melalui jalan yang sepatutnya antaranya ialah di Perhimpunan Agung UMNO.

“Tetapi beliau sendiri tidak mengikut apa yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO, jadi pada pandangan saya beliau tidak layak lagi untuk memimpin UMNO, apatah lagi ingin mengemukakan usul jawatan presiden tidak dipertandingkan,” kata Noor Hairi dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hairi Noor Mohammed.

 

Semakin hari, semakin ramai ahli mahupun pemimpin UMNO yang mengesa agar jawatan presiden dan timbalan dipertandingkan.

Ia termasuk Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Muqharabbin membuat gesaan itu agar semua jawatan dipertandingkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023.

Mohamed Nazri turur berkata, UMNO akan menjadi sebuah parti tidak lagi demokratik jika tunduk kepada usaha pihak tertentu menghalang jawatan dalam parti dipertandingkan pada pemilihan akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast