MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan dirinya akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu tidak lama lagi seperti dakwaan poster yang tersebar di media sosial hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu turut menafikan beliau memberi tekanan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk melepaskan jawatan beliau seperti didakwa.
Malah, tegasnya, semua tuduhan yang dilemparkan itu bersifat spekulasi yang sering berlaku sebelum ini termasuk pada Mei dan Julai lalu.
“Tak adalah, itu semua (dakwaan poster) tak betul, kita pun tak tahu apa dan itu semua spekulasi. Saya pun tak tahu kenapa orang berminat sangat pasal Melaka.
“Benda yang sama (isu tukar Ketua Menteri) tak habis-habis daripada setiap kali kalau Dewan Undangan Negeri (DUN) tak ada apa, itu dijadikan isu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Semalam, Sulaiman juga menafikan beliau akan melepaskan jawatan itu awal Januari tahun depan seperti dilaporkan media.
Mengulas lanjut Ab Rauf juga senada dengan ADUN Lendu itu dan sudah muak dengan isu sama yang sering ditimbulkan pihak tertentu.
“Tak tahulah kenapa isu ini timbul balik, tiba-tiba meletup ramai yang hubungi saya sedangkan dakwaan ini langsung tiada dalam pengetahuan saya,” katanya.
Kelmarin, satu laporan media menyebut Sulaiman bakal berundur sebagai Ketua Menteri pada 3 Januari tahun depan bagi memberi laluan Ab Rauf Yusoh menggantikannya.
Untuk rekod, sebelum ini, spekulasi sama timbul pada Mei lalu kononnya Sulaiman dipaksa pihak tertentu untuk menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri.
Kontroversi jawatan Ketua Menteri Melaka itu sekali lagi hangat apabila Julai lalu timbul dakwaan kononnya akan berlaku undi tidak percaya pada sidang DUN Melaka, namun tidak berlaku sehingga sidang ditangguhkan tanpa usul berkenaan.
Sulaiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 21 November tahun lalu selepas BN menang 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka sehari sebelumnya. – MalaysiaGazette