Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu semakin pulih, dengan jumlah mangsa yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkurangan.

Jumlah mangsa yang berada di PPS sehingga jam 9 pagi ini seramai 2,918 orang iaitu 1,004 keluarga di Kelantan, manakala 138 lagi di Terengganu.

Di Kelantan, jajahan Pasir Mas masih tersenarai sebagai lokasi yang terjejas banjir iaitu pekan Rantau Panjang, Kampung Alor Pasir dan Kampung Kubang Gadong serta Pengkalan Kubor di Tumpat.

Walaupun paras air Sungai Kelantan kembali ke paras normal, kecuali sungai Rantau Panjang masih di bawah paras berjaga-jaga, namun empat kawasan berkenaan berdepan dengan banjir termenung.

Sebanyak 16 PPS masih dibuka yang menempatkan 2,918 mangsa iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi seramai 1,479 orang, Masjid Lubok Gong (56), Madrasah Nasrullah Pohon Buloh (63), SK Kedai Tanjong (495), SM Agama (Arab) Banggol Setol (572) dan SK Banggol Chica (27).

Di Tumpat hanya melibatkan satu PPS yang masih dibuka iaitu SK Pengkalan Kubor 1 seramai 226 mangsa.

Di Terengganu pula, dua PPS masih dibuka yang menempatkan 138 orang iaitu Balairaya Kampung Pantai dan Masjid Kampung La di Besut. – MalaysiaGazette