Pesawat Batik Air

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan Batik Air, yang sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air, hari ini menyuarakan rasa kesal dengan kelewatan pelepasan penerbangannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat lepas, yang amat menyusahkan ramai penumpang.

Batik Air dalam kenyataan hari ini berkata, sehubungan itu pihaknya akan menghubungi semua penumpang yang terkesan, bagi menyampaikan baucar istimewa secara percuma kepada mereka.

“Punca insiden sedang disiasat, dan kami akan terus berusaha membaiki sebarang kelemahan dalam operasi kami, untuk sentiasa menambah baik penyampaian perkhidmatan kami kepada pelanggan.

“Kami amat kesal dengan kelewatan yang mengakibatkan rasa tidak selesa kepada penumpang dan kaum keluarga masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya baucar makan disediakan semasa kelewatan, namun kemudahan lain seperti penginapan tidak dapat disediakan kerana kemudahan bilik hotel yang sudah habis ditempah, dan tiada outlet makan dibuka di terminal itu selepas tengah malam.

“Kami tidak berniat untuk mengakibatkan sebarang kelewatan yang berlarutan, dan kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keadaan ini telah diperbetulkan, dan operasi kami di terminal telah kembali normal,” menurutnya.

Semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke menggesa Batik Air memohon maaf dan memikul tanggungjawab terhadap insiden itu.

Loke dilaporkan berkata demikian malam tadi sebagai jawapan kepada Twitter seorang pengguna bernama Mohd Firdaus Jailan (@firdausjailan) yang berkata beliau terkandas di KLIA selama lebih tujuh jam disebabkan kelewatan.

“Salam Saudara Firdaus, saya dah hubungi pengurusan @malindoair… mereka akan hubungi semua penumpang yang terjejas untuk memohon maaf dan mengambil tanggungjawab,” jawapan Loke.

Tweet video Firdaus meraih lebih sejuta perhatian apabila ia memaparkan penumpang yang terkandas tidur di bangku berhampiran dengan pintu pelepasan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast