KUALA LUMPUR – Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) mencadangkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) memberi kad kuota kepada rakyat Malaysia untuk mendapatkan rawatan di kilink swasta.
Presiden Perdim, Dr Boi Saidi Abd Razak berkata, kuota itu bagi membolehkan pemegangnya menggunakannya mengikut kesesuaian tertentu.
Katanya, pembiayaan rawatan dan perubatan boleh dibayar kepada klinik swata menggunakan satu kad kesihatan khas yang dijamin oleh KKM.
“Jika rakyat Malaysia boleh memilih untuk berubat ke klinik-klinik swasta dengan kuota atau peruntukan yang diberikan oleh pihak KKM, sudah pasti hospital kerajaan tidak lagi kebanjiran pesakit-pesakit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Boi Saidi berkata, sekiranya para pesakit di klinik kesihatan juga dapat dikongsi bersama-sama klinik swasta, masa menunggu kepada pesakit juga boleh dikurangkan.
Beliau berharap akan ada kolaborasi antara KKM dan klinik swasta untuk meningkatkan lagi mutu layanan kesihatan di negara ini.
Terdahulu, beliau membuat saranan itu sebagai mengulas laporan sebuah akhbar apabila melaporkan, lebih kurang 41.3 peratus pesakit terpaksa menunggu empat hingga enam jam untuk membolehkan mendapat rawatan jika ke jabatan kecemasan hospital @ A&E (acute & emergency ) kerajaan di Malaysia.
Katanya, waktu menunggu itu ditakrifkan sebagai pesakit datang ke A&E hingga dapat berjumpa doktor untuk rawatan.
“Sudah tidak asing lagi jika berubat ke A@E ini memerlukan masa menunggu yang lama. Waktu menunggu ini ditakrifkan sebagai pesakit datang ke A&E hingga dapat berjumpa doktor untuk rawatan. – MalaysiaGazette