Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bercakap kepada media semasa melancarkan perasmian pengumpulan bantuan banjir dan pengagihan barang bantuan banjir di Dewan Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai. Foto MOHD ADZLAN, 27 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara menyokong sekiranya kerajaan ingin mengkaji semula peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk penambahbaikan.

Namun Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau akan membantah sekiranya kerajaan ingin menghapuskan undang-undang berkenaan.

Jelas Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) itu, SOSMA masih diperlukan untuk menjaga keselamatan negara daripada jenayah keganasan yang digerakkan secara berkumpulan dan individu.

“Saya menganggap bahawa SOSMA patut dikekalkan, kaji semula untuk memperbaiki perlu kalau nak, bukan kaji semula untuk dihapuskan. Sebab kalau hapuskan kita tidak akan ada undang-undang menjaga keselamatan negara.

“Amerika Syarikat pun ada undang-undang seumpama SOSMA, polis negara berkenaan boleh tahan sesiapa di mana-mana negara jadi kenapa kita tidak boleh guna SOSMA untuk jaga negara sendiri?” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir, di Dewan Masjid Al- Mukhlisin, Alam Damai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kuasa polis untuk menahan tertuduh selama 28 hari merupakan peruntukan dalam SOSMA yang wajar dikekalkan kerana tempoh berkenaan akan digunakan oleh pihak berkuasa itu untuk menjalankan siasatan.

“Selalunya mereka (penjenayah keganasan) ada ketua, ada orang-orang bawah, jadi untuk melumpuhkan kumpulan tersebut, polis perlu masa yang panjang untuk menyiasat.

“Itu sebab dalam SOSMA, pihak polis boleh menahan tertuduh 28 hari untuk siasatan dijalankan. Selepas itu polis boleh tuduh di mahkamah, kerana ada yang kata sudah ada prosedur jenayah di mana polis boleh menahan individu selama 14 hari. Tempoh ini tidak cukup untuk polis siasat,” jelasnya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan bersetuju supaya peruntukan dalam SOSMA dikaji semula berikutan terdapat pelbagai aspek dalam peruntukan tersebut menerima kritikan terutama dalam isu mengehadkan pemberian jaminan.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan akta berkenaan tidak akan disemak kembali dan menyatakan individu yang ditahan boleh mengambil khidmat peguam sekiranya dihadapkan ke mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo meminta Menteri Dalam Negeri itu mempertimbangkan keputusan tersebut kerana ia bertentangan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan mekanisme dalam akta berkenaan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast