KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif menangani isu inflasi dan kesan terhadap harga barangan keperluan asas yang melanda negara ini dan dunia khususnya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika menyatakan perkara itu berkata, kesan yang berlaku sejak semua sektor ekonomi dibuka semula dalam fasa pasca pandemik Covid-19 sehingga kini.
Selain Malaysia, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga tidak terkecuali sehingga mendorong pakar ekonomi dunia serta tempatan mengunjurkan keadaan itu akan bertambah buruk di tahun 2023, katanya.
Ini kata beliau diakui melalui data yang dibentangkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam beberapa siri mesyuarat dan forum sejak tahun 2021 serta terkini pada Disember ini.
“Sebagai persediaan, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam menangani isu ini termasuk tindakan jangka pendek dan sederhana.
“Tempoh dua minggu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kementerian terlibat ketika Mesyuarat Khas NACCOL 27 November lalu telah disambut dan cadangan telah dibentangkan pada 13 Disember dan Mesyuarat Jemaah Menteri 14 Disember lalu.
“Selain itu, beberapa siri mesyuarat lain yang lebih berfokus telah diadakan di sebalik tabir melibatkan beberapa pemegang taruh termasuk kementerian, pemain industri, ahli akademik dan wakil pengguna,” katanya dalam kenyataan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahudin Ayub hari ini.
Menurut Rafizi, antara keputusan penting kerajaan yang dicapai ialah mengekalkan tarif elektrik untuk pengguna domestik, komersial dan industri yang dibuat atas kesedaran kenaikan tanpa program sokongan dan bantuan lain akan memberi kesan terhadap kos operasi pengeluar yang akhirnya memberi impak terhadap harga barangan pengguna.
Kata beliau, keputusan berikutnya, BERNAS akan menyalurkan peruntukan RM60 juta iaitu kepada petani beras RM10 juta bagi 2022 dan RM50 juta bagi 2023, sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan untuk membantu pesawah dalam menguruskan kos sara hidup mereka yang turut meningkat.
“Keputusan juga dicapai iaitu kawalan harga dan subsidi ayam standard serta telur Gred A, B dan C diteruskan sehingga suatu tempoh yang ditetapkan termasuk telur import juga telah mula masuk dan berada di pasaran tempatan.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) komited untuk mengatasi isu bekalan telur dengan tindakan jangka pendek ini sehingga bekalan daripada pengeluar tempatan kembali pulih.
“Apa jua faktor yang menyebabkan bekalan telur terganggu sejak September lalu akan diselesaikan dengan rasa tanggungjawab walaupun kita tahu ekosistem pengeluaran telur akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan sehingga satu tahun untuk diatasi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sedar penyelesaian bekalan harus dibuat dengan teliti tanpa memberi impak negatif kepada pengeluar dan peniaga kecil serta mikro seperti yang berlaku sebelum ini.
Kata Rafizi lagi, keputusan juga turut dicapai melalui libat urus antara Kementerian Perladangan dan Komoditi (MPIC), KPDN dan pemain industri pengeluar minyak masak.
Dalam pada itu, MPIC sedang memperincikan pelaksanaan Harga 2 Peringkat bagi minyak sawit mentah supaya harga minyak masak tulen kemasan botol di pasaran domestik dijual pada harga lebih rendah bagi mengurangkan tekanan terhadap permintaan dan penggunaan minyak masak bersubsidi polibeg 2 kilogram.
Beberapa lagi keputusan yang turut dicapai kerajaan ialah KPDN melancarkan OPS TERJAH selama satu bulan untuk menggerakkan 2,200 pegawai penguat kuasa dalam mengetatkan operasi pemantauan harga dan keberadaan barangan keperluan asas di pasaran meliputi seluruh negara.
Kerajaan sedang mengusahakan langkah jangka masa sederhana peringkat bekalan dengan menangani kekurangan bekalan untuk kegunaan tempatan dengan kerajaan akan mengambil langkah mengimport bekalan barangan keperluan asas yang diperlukan untuk memenuhi permintaan pengguna tempatan.
Pada masa sama, wajar untuk kerajaan bekerjasama dengan pemain industri tempatan untuk memperkasa dan juga memperkukuhkan bekalan barangan keperluan asas tempatan supaya negara tidak perlu bergantung sepenuhnya pada pembekal dari luar.
Kementerian Ekonomi akan memberi tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawaban harga berpatutan dengan membangunkan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan. Ekosistem ini akan membantu menambah keanjalan di sebelah permintaan sebagai satu usaha mengawal inflasi di masa akan datang;
Hasil daripada beberapa siri libat urus bersama tokoh ekonomi universiti tempatan, terdapat cadangan untuk mewujudkan Sistem Perlindungan Sosial Baharu melalui pendekatan subsidi bersasar. Perkara ini juga sedang diteliti oleh beberapa Kementerian dan diketuai oleh Kementerian Ekonomi.
Jawatankuasa Pemantauan Pelaksaan NACCOL yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri adalah bagi memastikan semua keputusan kerajaan berkaitan dengan agenda kos sara hidup dipantau secara strategik dan berfokus agar semua keputusan dilaksanakan dengan baik.
Jawatankuasa ini tidak akan bertindih dengan mana-mana jawatankuasa sedia ada kerana ia lebih bersifat pemantauan, pelaksanaan dan komunikasi strategik
Jelas Rafizi, perancangan pelaksanaan beberapa solusi pantas sedang diperincikan oleh KPDN serta kementeriannya.
“Ini termasuk pelan tindakan kerjasama rentas kementerian dan mengemaskini beberapa prosedur pelaksanaan dasar. Ia dijangka dilaksanakan bermula penghujung Januari 2023.
“Menerusi pelbagai perbincangan tersebut, ada keputusan yang sedang dilaksanakan dan ada yang masih memerlukan perincian.
“Kerajaan komited dalam membantu rakyat, tanpa menjejaskan kedudukan ekosistem perniagaan serta industri yang masih dalam tempoh pemulihan pasca pandemik Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Salahudin pula berkata, pengawalan inflasi dan juga kos sara hidup memerlukan kerjasama semua pihak yang terbabit dalam rantaian nilai termasuk kerajaan, pengeluar, peniaga dan juga rakyat.
Katanya, kos sara hidup bukan sahaja berlegar mengenai harga murah tetapi harga adil kepada pengeluar, peniaga dan pengguna.
“Kerajaan berharap perkara ini akan memudahkan pengurusan kos dan seterusnya memastikan segala penjimatan dapat dialirkan kepada para pengguna seterusnya meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menyarankan pengguna untuk terus memperkukuhkan peranan mereka sebagai pengguna bijak.
Katanya, perkara itu boleh dicapai dengan memberi fokus kepada beberapa langkah yang telah dicapai iaitu merancang perbelanjaan dengan baik sebelum melakukan pembelian; menyesuaikan kecenderungan sekiranya terdapat barang pengganti kepada barang yang telah meningkat harganya dan sentiasa membuat perbandingan harga.
KPDN mempunyai aplikasi iaitu Price Catcher yang akan membantu pengguna membandingkan harga di antara premis; dan membeli dalam kuantiti yang diperlukan serta tidak mengamalkan pembelian panik.
Pada masa sama, kata Salahudin, kerajaan akan tetap meneruskan semua peranan semasa serta sedang meneliti peranan lain yang boleh dimainkan.
Justeru, kerjasama serta peranan semua kementerian akan digembleng, manakala KPDN dan Kementerian Ekonomi bersetuju mewujudkan satu sekretariat bersama yang akan menjadi platform di peringkat pegawai untuk membincangkan peranan pelbagai agensi dalam menangani kos sara hidup.
Ujar beliau, kerajaan melalui KPDN juga akan mempergiatkan usaha agar perdagangan domestik terus berkembang.
“Justeru, bagi langkah tersebut agenda francais, jualan langsung serta peranan sektor peruncitan dan borong akan diperkukuh.
“Perdagangan tempatan yang merupakan penyumbang signifikan terhadap KDNK negara akan terus dirancakkan agar manfaat dapat terus sampai ke golongan sasar dan di masa yang sama turut meningkatkan peluang pekerjaan.
“Ini sudah pasti akan memberi peluang kepada rakyat untuk terus meningkatkan pendapatan dan untuk bersama-sama Kerajaan dalam mengharmonikan semula ekonomi domestik selepas terjejas teruk apabila pandemik Covid-19 melanda,” katanya. – MalaysiaGazette