Khaled Afghanistan
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap kerajaan Afghanistan akan mengkaji semula keputusan menyekat kemasukan golongan wanita ke universiti di negara itu.

Beliau yang sedih dengan keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi Afghanistan itu berpandangan, langkah tersebut boleh menjejaskan perkembangan pendidikan umat Islam pada masa depan.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Afghanistan, Neda Mohammad Nadeem yang disampaikan melalui Duta Besar Afghanistan di Kuala Lumpur, Dr. Moheb Rahman Spinghar agar keputusan tersebut dikaji semula.

“Saya telah berkongsi dengan beliau antaranya mengenai pengalaman dan amalan di Malaysia berhubung penghormatan kepada wanita yang menyumbang kepada agenda kepentingan nasional.

“Malaysia telah membuktikan bagaimana golongan wanita memberi sumbangan yang besar terhadap meningkatkan reputasi negara melalui pendidikan yang mantap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan Afghanistan yang dikuasai Taliban membuat pengumuman berhubung keputusan tersebut baru-baru ini sekaligus menyekat golongan wanita di negara itu daripada mengikuti pengajian tinggi.

Beliau menambah, pembangunan bakat dan kemahiran wanita Islam di Malaysia secara sama rata dalam pelbagai industri telah membantu melonjakkan ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Mohamed Khaled percaya pendidikan akan menjadikan wanita Afghanistan sebagai aset berharga dalam membantu usaha membina sebuah negara bangsa yang berdaya tahan dan stabil serta mempunyai perpaduan sosial yang kukuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast