KUALA LUMPUR – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad dan KAB Goldynamics Sdn. Bhd mematerai memorandum (MoU) persefahaman bagi memperkenal akaun emas digital patuh syariah dikenali i-Gold Personal Account (i-GPA).
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, ia bertujuan untuk menjadikan produk simpanan emas digital ini membantu serta mengukuhkan kewangan masyarakat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“i-GPA menawarkan modal serendah RM10 bagi menggalakkan semua peringkat masyarakat untuk membuka akaun pelaburan emas digital mereka sendiri.
“Masyarakat sekarang mempunyai kesedaran terhadap pelaburan emas digital di mana orang ramai beralih kepada simpanan emas kerana nilai emas semakin meningkat sejak beberapa tahun ini,” katanya pada majlis menandatangani memorandum (MoU) di Ibu pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Najib, menjelang tahun 2023, Koop Sahabat optimis masyarakat akan menjadikan pelaburan emas digital ini satu usaha berterusan kerana ia mampu memberi pulangan jangka panjang kepada pelabur.
“Melalui i-GPA ini juga, Koop Sahabat menyeru kepada semua anggotanya untuk tidak melepaskan peluang supaya manfaat ini dapat dirasai bersama dan dapat keluar daripada masalah kewangan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KAB Goldynamics Sdn. Bhd, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, pelaburan emas digital dapat memudah cara pelabur untuk melihat dalam data pihaknya dengan menyediakan maklumat agar kos dan harga keuntungan sekiranya ada.
“Sekiranya ingin mencairkan emas, tidak ada sebarang dokumentasi, kos yuran, peguam dan sebagainya yang dapat memudahkan semua anggota,” katanya.
Jelas Mohd Daud, keuntungan tidak ditentukan oleh mana-mana pihak, sebaliknya ia mengikut pasaran semasa.
Untuk rekod, Koop Sahabat merupakan sebuah koperasi perkhidmatan yang terdiri daripada usahawan wanita B40.
Koop Sahabat juga telah disenaraikan sebagai koperasi kelima terbaik Malaysia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada tahun 2021.
Perniagaan Koop Sahabat meliputi perniagaan dalam Perkhidmatan Kewangan seperti Ar Rahnu, Pembangunan Hartanah, Pelaburan Korporat, Pelaburan Strategik serta pelaburan dalam ekuiti awam. – MalaysiaGazette