Penduduk Jalan Kebun bersama kontraktor melakukan kerja membersih longkang.

KLANG – Parlimen Kota Raja mengambil langkah persediaan menghadapi kemungkinan banjir dengan membersih longkang dan parit di sekitar kawasan yang mudah bertakung air.

Ahli Parlimennya, Mohamad Sabu berkata, antara kawasan yang sering dinaiki air ketika hujan ialah sekitar Jalan Kebun.

“Hari ini, hari ketiga kerja pembersihan longkang dan parit di sekitar Jalan Kebun.

“Kali ini di sepanjang Jalan Kampung Batu 7 atau Jalan Kubur Berjaya Park. Selain longkang konkrit yang dah lama tak dibersihkan air juga bertakung di atas jalan,” katanya menerusi hantaran Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kota Raja, hari ini.

Menurut Mohamad, dalam kerja pembersihan itu, penduduk menemui beberapa halangan laluan air yang selama ini menjadi penyebab berlaku banjir kilat.

Beliau turut mengingatkan kontraktor yang dilantik bagi pembersihan itu tidak culas dalam menjalankan kerja masing-masing.

“Kontraktor yang dilantik janganlah culas dan mencari kesempatan. Allah melihat kecenderungan hati kamu, nak buat (kerja) atau nak culas,” ulas beliau.

Jalan Kebun dalam daerah Klang selalu dinaiki air jika hujan dan kerja pembersihan longkang serta parit di kawasan itu diharapkan dapat mengatasi masalah berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast