KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah menerima sebanyak 146 laporan palsu berkaitan kejadian jenayah sepanjang tahun ini.
Kesemua laporan itu membabitkan kejadian jenayah samun dan ragut serta enam laporan palsu berkaitan kehilangan kenderaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, daripada 146 kes laporan palsu itu kebanyakannya membabitkan pengadu kehilangan Mykad dan individu yang ingin menuntut pampasan perlindungan insurans kenderaan.
“Hasil siasatan lanjut atas kesemua laporan mendapati individu yang membuat laporan palsu tentang kejadian ragut dan samun semata-mata mahu mengelak diri mereka daripada dikenakan hukuman denda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah Eng Lai, mengikut peruntukan JPN, seseorang individu yang kehilangan Mykad untuk kali pertama akan dikenakan denda RM100, kehilangan kali kedua melibatkan denda berjumlah RM300 dan kecuaian kali ketiga dan seterusnya akan dikenakan denda sebanyak RM1,000 kecuali disebabkan oleh perlakuan jenayah.
Sementara itu, katanya, siasatan terhadap laporan palsu mengenai kehilangan kenderaan pula mendapati sebenarnya pemilik kenderaan mahu membuat tuntutan palsu daripada syarikat perlindungan insurans namun pada hakikatnya kenderaan tersebut tidak hilang.
“Siasatan lanjut polis juga mendapati terdapat beberapa punca yang menyebabkan pemilik kenderaan sengaja tampil membuat laporan palsu antaranya ialah disebabkan kenderaan mereka terlibat dalam bencana banjir.
“Kos pembaikan kenderaan yang terlalu tinggi menyebabkan pemilik bertindak berani untuk tampil membuat laporan palsu kepada polis bagi tujuan pembaikan kenderaan tersebut,” katanya.
Selain itu, ujar Eng Lai lagi, terdapat juga segelintir pemilik yang mendakwa kononnya kenderaan milik mereka telah hilang tetapi semakan mendedahkan ia sebenarnya sudah dijual.
Tegasnya lagi, terdapat juga individu yang tidak mahu memulangkan kenderaannya yang telah dipinjam dan menggunakan alasan kenderaan itu sudah hilang untuk membolehkan mereka terus menggunakannya.
Jelas Eng Lai, kesahihan dan kebenaran di sebalik setiap laporan polis dari pengadu itu hanya terbongkar sejurus selepas pegawai penyiasat polis menyiasat lebih lanjut setiap laporan diterima.
“Polis sangat memandang serius terhadap tindakan setiap individu yang tidak bertanggungjawab yang membuat laporan palsu hanya akan membazirkan masa, tenaga polis dan wang kerajaan semata-mata hendak menyiasat kes yang sebenarnya tidak wujud.
“Sepanjang tahun ini juga polis telah membuka sebanyak 152 kertas siasatan dan kesemuanya telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” tegas Eng Lai lagi.-MalaysiaGazette