Foto Facebook Sri Pahang FC.

KUALA LUMPUR – Sri Pahang FC mengumumkan bekas pemain pertahanan Melaka United, Fadhli Shas sebagai pemain baharu kelab itu bagi musim 2023.

Pemain berusia 31 tahun ini menyertai pasukan dengan kontrak selama dua tahun.

“Pernah menyarung jersi skuad muda dan senior kebangsaan, Fadhli membawa bersamanya pengalaman luas baik di pentas domestik mahupun antarabangsa.

“Beliau telah bersama JDT selama lapan musim sebelum dipinjamkan ke Melaka United tahun ini,” tulis Sri Pahang di Facebook miliknya.

Kehadiran Fadhli itu akan menyaksikan ganding semula dengan rakan lamanya, Muslim Ahmad di bahagian pertahanan tengah.

Ketika zaman muda, mereka sering beraksi bersama dalam skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Gandingan ini juga pernah membantu Malaysia menjuarai Piala AFF 2010 ketika dibawah kendalian Datuk Rajagobal.

Mereka juga cemerlang membantu negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011.

Kali terakhir mereka berdua berganding dalam skuad kebangsaan ialah ketika saingan Piala AFF 2014 dibawah kendalian Datuk Dollah Salleh. Malaysia ketika itu muncul sebagai naib juara apabila tewas kepada Thailand menerusi agregat 4-3.

Sementara itu, Tok Gajah juga bakal dikendalikan oleh jurulatih dari Singapura, Fandi Ahmad yang pernah menjuarai Piala FA 2015 ketika melatih Lions XII. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast