PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki disyaki mabuk dan memandu melawan arus dikenalpasti punca kenderaan dipandunya itu merempuh sebuah kereta lain dalam kejadian di jejambat berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipandu seorang lelaki berumur 27 tahun dipercayai di bawah pengaruh alkohol bersama rakannya.
Polis menerima satu laporan berkaitan kejadian itu pada jam lebih kurang pukul 5.09 pagi.
“Suspek dipercayai memandu keretanya secara melawan arus dalam keadaan mabuk sebelum hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berumur lingkungan 20-an yang datang di hadapannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Fakruddin, kejadian itu telah mengakibatkan pemandu Proton Saga dan penumpang Honda Civic itu telah mengalami kecederaan ringan.
“Kedua-dua mangsa yang tercedera telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk diberikan rawatan lanjut.
“Polis kemudian telah memberkas suspek iaitu pemandu Honda Civic yang melawan arus dalam keadaan mabuk itu dan kertas siasatan telah dibuka untuk membantu siasatan lanjut polis,” ujarnya.
Tegas Mohamad Fakhrudin, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette