Gambar pasangan itu yang dikenali sebagai Ivan Beerkus dan Angela Nikolau berdiri di puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu telah dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

KUALA LUMPUR – Pasangan warga Rusia yang memanjat  Menara Merdeka 118 di sini baru-baru ini akan disiasat polis atas kesalahan menceroboh.

Gambar yang memaparkan kelibat pasangan warga asing itu telah mencetuskan kejutan dan kritikan dalam kalangan warga netizen di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya akan memanggil pasangan berkenaan untuk merakam kenyataan mereka.

“Kedua-dua individu warga asing itu akan disiasat atas tuduhan menceroboh,” katanya hari ini.

Terdahulu, gambar pasangan itu yang dikenali sebagai Ivan Beerkus dan Angela Nikolau berdiri di puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu telah dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pasangan yang popular dengan lagak aksi memanjat bangunan-bangunan tertinggi di dunia itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.

Difahamkan menara itu masih belum beroperasi secara rasmi dan tidak dibuka lagi kepada umum.

Dalam satu hantaran di laman sesawang itu, Ivan memaklumkan pengalamannya berada di puncak menara 118 itu sebagai sesuatu yang ‘gila’.

Sementara itu, Angela menerusi ciapan di Twitter menulis dia tidak ditahan oleh pihak berkuasa negara ini semasa memanjat menara terbabit.

“Saya sudah melakukan perbuatan ‘gila’ dan tidak ditahan. Ia pengalaman menakutkan tetapi dengan penamat yang menggembirakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Haaa kat Malaysia..semua boleh..macam mana dia boleh masuk kawasan pembinaan tu? Boleh lepas mcm tu jaa?

Comments are closed.