https://www.tiktok.com/@malaysiagazette/video/7182154812480425243?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7161251530448029185

SEGAMAT – Suasana pilu menyelebungi pengebumian jenazah kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang mati didera di sini hari ini.

Kanak-kanak malang itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatim Labis di sini selamat dikebumikan kira-kira pukul 6 petang tadi.

Jenazah yang selesai dimandi dan dikafankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru telah  dituntut datuk saudaranya, Ruslan Ahmad pada pukul 3 petang sebelum dibawa ke Masjid Jamek Labis untuk disembahyangkan.

Suasana pilu mengiringi ketibaan jenazah kanak-kanak itu yang dihadiri hampir 100 orang terdiri daripada keluarga, saudara mara dan pihak polis.

Kanak-kanak lelaki itu dikatakan meninggal dunia pukul 6.40 minit petang kelmarin ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI.

Semalam media melaporkan polis mengesahkan terdapat kecederaan baharu dan lama di seluruh badan kanak-kanak lelaki empat tahun yang meninggal dunia semalam dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesan dicucuh besi panas di seluruh badan mangsa termasuk kemaluan dan digigit di telinga.

Kanak-kanak malang itu mula dijaga kakak kandungnya yang juga anak ketiga dan anak perempuan sulung daripada 11 beradik sejak September lalu.

Ia berikutan, kedua-dua ibu bapa dua beradik itu masuk penjara akibat terbabit dalam kes penagihan dan pengedaran dadah.

Pada awalnya, hak penjagaan diberikan kepada datuk saudara mangsa selepas diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun datuk saudaranya tidak tahan dengan mangsa yang dikatakan kerap menangis kerana komplikasinya yang lahir pramatang.

Datuk saudara mangsa menyerahkan semula kanak-kanak itu kepada JKM dan sepanjang jagaan jabatan itu, keadaannya baik dan selamat sebelum diserahkan semula kepada ibunya yang ketika itu sudah dilepaskan.

Bagaimanapun, pada September lalu, ibunya sekali lagi ditahan polis dan hak penjagaan sementara diberikan kepada kakak mangsa yang berusia 19 tahun dan sudah berkahwin dan suaminya berusia 37 tahun. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kanak-kanak maut ada kesan pukulan, cucuh – Polis