Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika sidang media selepas melawat proses bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia dipercayai didera di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail hari ini.

JOHOR BAHRU – Kesan pukulan dan cucuh akibat benda panas, adalah antara kecederaan teruk dialami kanak-kanak lelaki empat tahun yang meninggal dunia di sini, dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata hasil pemeriksaan awal, terdapat kesan kecederaan teruk hampir di seluruh badan kanak-kanak berkenaan yang meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, petang semalam.

“Pemeriksaan terhadap jenazah amat mendukacitakan dan menyedihkan kerana hampir seluruh badan terdapat kecederaan daripada kepala sampai kaki.

“Kesan kecederaan mungkin akibat dipukul dan dicucuh sama ada api atau benda yang panas di seluruh badan termasuk atas kemaluan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HSI, di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang juga anak bongsu daripada 11 beradik menjalani rawatan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 23 Dis lepas sebelum disahkan meninggal dunia pada 6.40 petang semalam.

Kamarul Zaman berkata kesan kecederaan yang dikenal pasti itu adalah kecederaan baharu serta lama dan polis masih menunggu hasil bedah siasat ke atas mangsa terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berkata anak bongsu daripada 11 beradik itu dijaga kakaknya yang juga anak ketiga, dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas kedua-dua ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat dadah sejak September lepas.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diserahkan kepada rakan kakaknya, yang sempat menjaga kira-kira dua minggu sebelum suami kepada rakan kakaknya (pengadu) menyedari kanak-kanak berkenaan pengsan di rumah di Senggarang, Batu Pahat, lalu membawanya ke klinik untuk rawatan.

“Rakan kepada kakak mangsa merasakan bahawa kakak mangsa tidak mampu hendak jaga, jadi dia cadangkan agar beri dia jaga.

“Apabila (mangsa) dibawa kepada pengadu, dia melihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya, sakit dan dibawa ke hospital yang kemudiannya dinasihatkan oleh doktor untuk buat laporan polis,” katanya.

Kamarul Zaman menjelaskan setakat ini, lima individu berusia 15 hingga 37 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan, termasuk kakaknya yang berusia 19 tahun dan suami kakaknya berusia 37 tahun.

Beliau pada masa berkata jenazah akan diserahkan kepada waris yang disahkan oleh Jabatan ebajikan Masyarakat (JKM) setelah selesai proses bedah siasat.

Terdahulu, Kamarul Zaman menerusi kenyataan berkata mangsa dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 23 Dis selepas dilaporkan pengsan di rumah rakan kepada kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat, sebelum meninggal dunia semalam.

Mangsa katanya dijaga oleh kakak kandungnya itu setelah ibu dan bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah, dan kemudian mangsa diserah kepada rakan kakaknya (pengadu) untuk dijaga.

Kamarul Zaman berkata kesemua yang ditahan, direman tujuh hari bermula Ahad (25 Dis) sehingga Sabtu (31 Dis) dan kes yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Kanak-kanak 4 tahun mati disyaki didera