Kamarul Zaman Mamat

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia semalam disyaki didera di Senggarang, Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa meninggal dunia  kira-kira pukul 6.40 petang setelah menjalani rawatan sejak 23 Disember lalu di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Menurutnya, pada 23 Disember lalu, pengadu iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun membuat laporan polis memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan sebelum di bawa ke HIS pada hari yang sama.

“Bertindak atas maklumat, pada pukul 12 tengah hari sehingga 9.45 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan lima individu berusia 15 hingga 37 tahun di sekitar Senggarang, 24 Disember lalu.

“Mereka terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita disyaki terlibat dalam kes dera berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Kamarul Zaman, pihaknya telah merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa.

Ujarnya, mangsa dijaga oleh kakak kandungnya selepas kedua-dua ibu bapa mangsa dimasukkan ke penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada rakan kakak untuk dijaga,” ujarnya.

Tambah Kamarul Zaman, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 hingga 31 Disember ini untuk membantu siasatan.

“Pada awalnya kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

“Namun polis mengklasifikasikan semula kes akibat kematian mangsa iaitu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya. -MalaysiaGazette