Timbalan Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad,

KUALA LUMPUR – Pemansuhan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta, seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan, semalam menuntut strategi alternatif yang lebih jelas.

Walaupun KPM menyatakan rasionalnya untuk memenuhi keperluan semasa sektor dan memastikan keterbukaan penyertaan, tetapi ada keperluan untuk kerajaan memperjelaskan apakah bentuk penyelarasan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera selepas pemansuhan dilakukan.

Ini kerana menurut Timbalan Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad, pendidikan swasta bukan sahaja sekadar membina modal insan tetapi dalam dunia moden, pendidikan swasta juga membina modal ekonomi.

Tambahnya, industri pendidikan swasta juga berkait dengan nilai hartanah dan pembinaan melalui pembangunan kampus serta industri teknologi melalui edtech.

Ia turut terkait dengan perkhidmatan profesional melalui pengurusan dan konsultasi selain mempunyai hubungan dengan pendidikan antarabangsa yang mempunyai dimensi ekonomi rentas sempadan melalui kemasukan pelajar antarabangsa.

Oleh itu, strategi pendidikan swasta negara tidak seharusnya hanya berbincang mengenai siapa yang mendapat pendidikan, tetapi juga siapa yang membina dan memiliki ekonomi pendidikan.

Ini kerana menurut Anuar, di sinilah agenda pembangunan modal insan perlu dikaitkan dengan agenda pembangunan pemilikan modal.

“Pemansuhan syarat ekuiti 30 peratus tidaklah dengan sendirinya terus menggugat masa depan pemilikan Bumiputera dalam industri pendidikan swasta. Namun, ia akan tetap menjadi persoalan.

“Misalnya, apabila pasaran dibuka, apakah strategi untuk membina syarikat pendidikan swasta milik Bumiputera yang kompetitif? Jika pelaburan mahu diperluas, bagaimana modal Bumiputera dapat digerakkan? Jika industri pendidikan swasta terus berkembang, apakah sasaran pemilikan Bumiputera yang mahu dicapai dalam tempoh 10 atau 20 tahun?

“Dan yang paling penting, siapakah yang sebenarnya akan memiliki aset dan ekuiti daripada pertumbuhan industri pendidikan swasta di Malaysia?

“Soalan-soalan ini memerlukan jawapan yang rasional berasaskan data, malangnya itu sesuatu yang belum dapat dilaksanakan buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Anuar meminta kerajaan mempertimbangkan pewujudan Data Pemilikan Bumiputera dalam Industri Pendidikan Swasta yang boleh menjadi instrumen untuk mengetahui kedudukan sebenar pemilikan Bumiputera dari tahun ke tahun.

Jelasnya, antara indikator yang boleh diukur ialah nilai aset pendidikan yang dimiliki, nilai ekuiti syarikat, jumlah institusi pendidikan milik Bumiputera, jumlah syarikat pendidikan dan edtech, nilai pelaburan, kadar pertumbuhan syarikat, jumlah pekerja dan penglibatan dalam pasaran pendidikan antarabangsa.

Dengan adanya ukuran sedemikian, kerajaan boleh menilai sama ada dasar pemerkasaan ekonomi bumiputera benar-benar menghasilkan perubahan struktur pemilikan atau hanya meningkatkan penyertaan tenaga kerja bumiputera.

Katanya, Jabatan Statistik pada 2022 melaporkan terdapat 18,242 institusi pendidikan swasta di Malaysia dengan 186,354 pekerja industri pendidikan swasta, RM24.1 bilion hasil, RM15.1 bilion nilai tambah dan RM21 bilion aset tetap.

Ini sekali gus menunjukkan pendidikan swasta adalah sumber ekonomi yang besar dan mempunyai saling gantung dengan banyak sektor lain.

“Kita juga perlu mengetahui struktur pemilikan aset. Berapakah nilai aset pendidikan swasta yang dimiliki Bumiputera? Berapakah bangunan sekolah, kolej dan universiti yang mempunyai pemilikan Bumiputera? Berapakah syarikat pendidikan dan teknologi pendidikan yang dimiliki Bumiputera? Berapakah nilai ekuiti mereka? Persoalan ini tidak dapat dijawab dengan data pendidikan biasa kerana statistik pendidikan lazimnya hanya mengukur bilangan pelajar, guru, institusi dan pencapaian.

“Kita memerlukan data pemilikan ekonomi Bumiputera dalam sektor pendidikan swasta. Tanpa data itu, perdebatan tentang pemilikan Bumiputera mudah menjadi sekadar andaian,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan penubuhan Dana Ekuiti Pendidikan Bumiputera untuk pelaburan dalam syarikat pendidikan Bumiputera yang berpotensi, skim pembiayaan pengambilalihan institusi pendidikan sedia ada dan skim padanan pelaburan antara kerajaan, institusi kewangan serta pelabur swasta.

“Jika pendekatan kerajaan sekarang lebih kepada menekankan keterbukaan pasaran, maka agenda pemilikan Bumiputera memerlukan instrumen afirmatif yang berbeza. Fokusnya bukan semata-mata memberikan perlindungan kepada syarikat pendidikan swasta Bumiputera, tetapi untuk membina keupayaan mereka bersaing dan berkembang,” ujar beliau lagi.

Tumpuan juga perlu diberikan kepada sektor pendidikan dan latihan yang sedang berkembang seperti edtech, kecerdasan buatan, kandungan digital dan platform pembelajaran.

Dalam ekonomi pendidikan masa depan, pemilikan tidak semestinya terletak pada bangunan sekolah atau kampus. Ia juga terletak pada teknologi, data, kandungan dan harta intelek.

Pada masa yang sama, syarikat pendidikan Bumiputera perlu disokong untuk mencapai skala yang lebih besar melalui modal pertumbuhan, pengurusan profesional, penggabungan dan kerjasama strategik.

Pendekatan ini mengubah strategi dan dasar daripada hanya melindungi penyertaan bumiputera kepada membina daya saing bumiputera dalam industri pendidikan swasta. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here