KUALA LUMPUR – UMNO digesa membenarkan pemilihan bagi dua jawatan tertinggi parti iaitu presiden dan timbalan presiden.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, UMNO tidak wajar menyekat dua jawatan tertinggi parti itu biar pun Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Bila pilih pemimpin melalui pemilihan, baru parti boleh tentukan hala tuju. Takkan nak sekat. Ini demokrasi, ini caranya untuk hidupkan dan mekarkan kembali UMNO,” katanya dalam laporan Utusan Malaysia Online.
Shahrir turut berkata, UMNO tidak perlu menyekat langkah itu kerana ia dilihat ‘sihat’ untuk parti.
Malah bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, kedua-dua jawatan tertinggi itu perlu dipertandingkan kerana berkait rapat dengan suara akar umbi.
“Siapa yang boleh bertanding dan tawarkan diri, dia layak untuk bertanding. Yang nak mengundi ramai, jadi kena teruskan amalan ini,’’ katanya.
Kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan adalah pada 2018 lalu di mana jawatan Presiden dimenangi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara beliau, Khairy Jamaluddin dan seorang lagi veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.
Manakala Datuk Seri Mohamad Hasan pula dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO selepas menewaskan Tan Sri Annuar Musa. – MalaysiaGazette