CALABAR, Nigeria – Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 24 yang lain cedera selepas sebuah kenderaan merempuh orang ramai yang menonton penunggang motosikal di sebuah karnival popular di bandar pelabuhan selatan Nigeria, Calabar.
Saksi berkata, pemandu hilang kawalan selepas memandu keretanya dengan laju.
Seorang bapa kepada remaja berusia 15 tahun yang cedera dalam kejadian itu memberitahu BBC bahawa kereta itu dipandu secara melulu.
“Pemandu kereta itu telah berpusing dari kiri ke kanan dan kemudian apabila sampai ke tempat orang ramai berdiri, dia mula menabur wang di jalan raya.
“Orang ramai bergegas mengambil wang itu, dan ketika itu kejadian kemalangan berlaku,” kata Musa Kutama.
Anaknya, Abdulsalam Musa Kutama selamat tetapi mengalami kecederaan dengan kesan calar di muka dan luka pada paha.
Dalam pada itu, polis berkata, seorang pemandu mabuk telah ditangkap susulan kejadian itu.
Gabenor negeri, Profesor Ben Ayade dalam kenyataan berkata, kerajaan sedang menyiasat bagaimana kereta itu melalui banyak sekatan keselamatan yang menghalang akses kepada lalu lintas awam.
Beliau membatalkan baki perarakan penunggang motosikal tetapi acara lain yang dirancang sepanjang karnival yang berakhir pada malam Tahun Baru dengan pertunjukan bunga api akan diteruskan.
Karnival tahunan selama sebulan itu menampilkan beberapa acara dan merupakan acara terbesar sejak ia dilancarkan pada 2004.
Sebagai parti jalanan terbesar di Afrika, ia menarik pelancong tempatan dan asing sepanjang Disember.
Acara tahunan pada kali ini dianggap istimewa kerana ia merupakan yang pertama sejak pandemik Covid yang memaksa pembatalannya sejak dua tahun lalu. – Agensi