KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menggalakkan mereka yang terlibat dalam industri perfileman untuk membuka akaun dan membuat caruman dengan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
Selain itu, Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, warga perfileman juga digalakkan untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan aspek keselamatan mereka sewaktu bekerja turut dititikberatkan.
Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) bagi menjayakan inisiatif tersebut.
“Penggiat seni perfileman tidak kira apa bidang mereka wajar mengambil kesempatan memiliki akaun KWSP selain kita mahu mereka dilindungi dari aspek keselamatan menerusi Perkeso.
“Ada beberapa perkara yang akan kita susuli susulan langkah ini, jadi sesi libat urus khususnya bersama Finas dan Gafema akan diteruskan pada masa depan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Muhibah Sambutan Hari Raya Finas di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac.

Pada majlis sama, Fahmi turut menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) antara Finas dan Gafema iaitu badan yang menggabungkan sebanyak 16 persatuan dalam pelbagai aspek penghasilan filem.
Terdahulu, menurut Fahmi, beliau hari ini turut menyertai sesi townhall bersama pelbagai pihak dalam industri perfileman untuk mengumpul maklum balas dan pandangan dalam usaha kementeriannya dan Finas meminda Akta Finas 1981 (Akta 244).
Ujar beliau, pindaan akta itu bertujuan memastikan industri perfileman negara dapat diserasikan dengan perkembangan zaman memandangkan pelbagai aspek dalam industri tersebut ketika ini menyaksikan perubahan pesat.
Beliau mengambil contoh bagaimana industri perfileman ketika ini tidak hanya terikat dengan tayangan di pawagam, sebaliknya turut melibatkan kandungan perfileman dalam format berbeza seperti yang dimuat naik ke dalam media sosial.
“Jadi menerusi pindaan Akta Finas ini, kita ingin mencerminkan bukan hanya tatakelola dan urus tadbir Finas yang mantap serta dari aspek kawal selianya yang baik, tetapi juga mengambil kesempatan supaya industri perfileman negara kita mampu mendepani zaman.
“Perkara ini memerlukan penambahbaikan kepada Akta Finas dan kita akan teruskan sesi libat urus dengan pelbagai sektor dan industri,” katanya.
Sebelum ini, Fahmi memaklumkan, Jemaah Menteri secara dasar bersetuju meminda Akta Finas yang bertujuan memperkemaskan akta berkenaan supaya seiring dengan peredaran zaman.
Pindaan akta itu dijangka dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang iaitu sama ada Jun atau Julai depan dengan kelulusan dan penguatkuasaannya dijangka dapat dilakukan hujung tahun ini. – MalaysiaGazette
















