The Fox King mengisahkan pasangan kembar, Ali dan Amir yang membesar tanpa ibu.

KUALA LUMPUR – Filem The Fox King (Semusim Lara) melakar sejarah sendiri apabila dipilih sebagai wakil rasmi Malaysia untuk dipertimbangkan dalam kategori Filem Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi ke-99 atau Oscar.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam kenyataan berkata, filem arahan dan tulisan Woo Ming Jin itu dipilih Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS).

“The Fox King mengisahkan pasangan kembar, Ali dan Amir yang membesar tanpa ibu, sebelum kehadiran Lara, seorang guru bahasa Inggeris baharu mengubah kehidupan serta hubungan mereka,” kata Finas dalam satu kenyataan di sini.

Filem terbitan bersama Malaysia dan Indonesia itu menampilkan Idan Aedan, Hadi Putra dan Dian Sastrowardoyo sebagai pelakon utama.

Lebih membanggakan, The Fox King turut menerima sokongan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK), inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Finas.

Naskhah berkenaan terlebih dahulu mencuri perhatian di pentas antarabangsa apabila membuat tayangan perdana dunia pada 9 September 2025 sempena Toronto International Film Festival (TIFF), menerusi program Centrepiece.

Selepas itu, naskhah berkenaan meneruskan misi ke beberapa festival filem termasuk Busan International Film Festival, Jakarta Film Week dan Taipei Golden Horse Film Festival.

Di Malaysia, filem berkenaan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 17 September lalu.

Secara tidak langsung, pemilihan tersebut membuka peluang buat The Fox King membawa nama Malaysia ke pentas Oscar, selepas melalui perjalanan panjang di litar festival filem antarabangsa.

Dalam kenyataan sama, Finas turut merakamkan ucapan tahniah kepada Woo Ming Jin serta seluruh barisan pelakon dan produksi atas pemilihan filem berkenaan sebagai wakil rasmi Malaysia.

Anugerah berprestij Oscar dijadualkan berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Amerika Syarikat pada 14 Mac tahun depan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here