KUALA LUMPUR – Enam orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan di Terminal Bas Bersepadu (TBS) Kuala Lumpur semalam selepas berjaya memasuki negara melalui laluan haram.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua PATI berkenaan dibawa masuk oleh sindiket menerusi laluan haram di Sungai Golok Kelantan kemudian menuju ke ibu kota menaiki dua buah bas awam untuk bekerja.

“Pasukan operasi telah berjaya mengesan bas yang membawa sekumpulan enam orang PATI tersebut di lebuhraya Pantai Timur dan bertindak mengekori sehingga ke TBS.

“Sebaik tiba, pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas semua penumpang dua buah bas secara berasingan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan PATI yang ditahan terdiri daripada lima orang lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 35 hingga 54 tahun.

Ujarnya, keenam-enam individu tersebut memiliki cap keluar negara jiran dan cap masuk Malaysia yang disyaki palsu.

Menurut Khairul Dzaimee, kesemua warganegara Indoesia berkenaan dihalang memasuki negara kerana mempunyai rekod jenayah lampau.

“Cap-cap palsu digunakan di dalam pasport milik mereka bertujuan mengaburi pihak berkuasa bahawa mereka memasuki Malaysia secara sah dan melepasi pemeriksaan imigresen di Pintu Masuk Negara,” tambah beliau.

Mengulas lanjut Khairul berkata, sindiket membawa masuk PATI kini mengubah Modus Operandi dengan menggunakan pesawat dari Indonesia ke negara jiran untuk tujuan transit sebelum memasuki Malaysia secara tidak sah.

“Jaringan sindiket akan menyediakan pengangkutan dan lain-lain kemudahan supaya kumpulan PATI berkenaan dapat memasuki Malaysia melalui laluan haram di sempadan.

“Seterusnya mereka mereka akan dipindahkan dengan menaiki kenderaan ke stesen bas berhampiran untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Jelas beliau, sindiket yang membawa PATI masuk ke negara ini menjanjikan tawaran kerja namun perlu membayar RM5,000 hingga RM6,000 kepada ejen terlebih dahulu.

“Tujuan mereka masuk adalah untuk bekerja semula samada dengan bekas majikan atau majikan baru di sekitar Kuala Lumpur yang telah diatur awal oleh pihak sindiket,” katanya.

Kesemua warganegara asing berkenaan kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast