Kerajaan Perak Perpaduan Saarani Mohamad
Saarani Mohamad

IPOH – Kesemua 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 hari ini sebulat suara bersetuju dengan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bagi membolehkan Enakmen Anti Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.

Usul bagi pindaan tersebut dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) dan disokong Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu).

Pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dengan memasukkan beberapa perkara di dalam RUU itu dibahaskan oleh enam ADUN.

DUN Perak terdiri daripada 59 ADUN dan seorang ADUN, Nga Kor Ming (PH-Kepayang) tidak hadir pada persidangan hari ini kerana menjalankan tugasnya sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan di peringkat kerajaan Persekutuan.

Saarani sewaktu penggulungan RUU tersebut berkata, akta anti lompat parti ini akan menguatkan semula kepercayaan rakyat terhadap amalan demokrasi.

“Ia dapat melindungi hak rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya selain meningkatkan integriti wakil rakyat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasannya,” katanya.

Beliau berkata, semua ahli dewan perlu mengakui bahawa sejarah telah membuktikan bahawa perbuatan melompat parti bukan sahaja satu bentuk pencabulan kepada amalan demokrasi tetapi merencatkan fungsi sesebuah kerajaan, malah boleh meruntuhkannya.

Jelasnya, kestabilan ekonomi dan sosial hanya mampu dicapai dengan wujudnya kestabilan politik yang sering berdepan ancaman akibat perbuatan melompat parti wakil rakyat terutamanya selepas era pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Saarai berkata, proses seterusnya ialah mendapatkan perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi membolehkan RUU itu diguna pakai dan diwartakan.

Semalam, Saarani membentangkan RUU tersebut sebagai langkah bagi memastikan larangan pertukaran parti politik bagi ADUN Perak yang bertujuan untuk meminda beberapa perkara terlebih dahulu sebelum peruntukan boleh mula berkuat kuasa.

Terdapat lima fasal yang akan dicadangkan dalam pindaan RUU tersebut antaranya tajuk ringkas, peruntukan tentang permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan, makna “parti politik” dan  kekosongan luar jangka di Dewan Negeri.

Persidangan ditangguhkan ke satu masa yang tidak ditetapkan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast