MELAKA – Seorang tukang cat didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya tawaran pembelian barangan terpakai tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zukhairi Mohd Azmi, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Liew Tian Foo, 68, dengan menawarkan tender pembelian barangan terpakai di Gudang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Perbuatan itu mendorong Tian Foo menyerahkan wang berjumlah RM11,680 iaitu dengan serahan tunai berjumlah RM480 dan memasukkan RM11,200 ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu
antara 30 Oktober 2015 hingga 20 Januari 2016

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha menawarkan jaminan RM8,000.

Tertuduh bagaimanapun merayu mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan hanya mengambil upah sebagai tukang cat selain merupakan ketua isi rumah kepada tujuh ahli keluarga termasuk isterinya yang hanya menunggu waktu untuk bersalin.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan 9 Februari depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette.