Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu bersedia secukupnya dalam berdepan dengan kemasukan pengembara dari negara China mulai Januari depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, memandangkan negara itu kini sedang berdepan dengan kes Covid-19 yang melonjak tinggi, adakah Malaysia sudah membuat persediaan menerima kehadiran mereka.

“Pengembara dari negara China dijangka masuk Malaysia mulai Januari 2023. Adakah kita bersedia menerima kehadiran mereka di saat kes Covid-19 di negara itu melonjak tinggi pada ketika ini?

“Seawal 8 Januari depan, kita akan dapat melihat ramai pengembara dari China akan memasuki negara serantau termasuk Malaysia.

“Justeru, dalam tempoh kurang 10 hari mulai sekarang, Malaysia perlulah bersedia secukupnya dalam berdepan kemasukan pengembara berkenaan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, kerajaan perlu melihat semula dasar berkenaan ketibaan pengembara dari kawasan berisiko.

Katanya, ada negara Eropah yang segera merangka langkah tertentu bagi mengendalikan kemasukan pengembara dari China.

Begitu juga, jelas beliau dengan Amerika Syarikat yang mengenakan syarat kepada pengembara dari China sebelum dibenarkan memasuki negara itu iaitu perlu menunjukkan ujian saringan dengan keputusan negatif Covid-19.

“Kita amat mengalu-alukan kehadiran pengembara dari China kerana ianya akan membantu merancakkan sektor pelancongan namun Kementerian Kesihatan (KKM) mesti mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah lonjakan penularan Covid-19, lebih lagi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, baik semasa mahu pun selepas perayaan.

“Saya sangat berharap Menteri Kesihatan yang baharu dilantik akan melihat isu ini dengan serius. Jika perlu, semaklah semula protokol kesihatan,” katanya lagi.

Beliau mendoakan yang terbaik untuk Malaysia dan terserahlah kepada pakar perubatan KKM untuk membuat keputusan mengikut data saintifik.

Pada masa sama, Malaysia tidak boleh lagi mengharungi sekatan ketat seperti Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast