Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuhkan survelan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dengan mengambil sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, sampel yang diambil akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19.

“Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk negara China di PMA akan melalui saringan demam. Mereka yang
dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula. Sekiranya disyaki Covid-19, ujian akan dijalankan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan perkembangan kes Covid-19 di China baru-baru ini.

Wilayah perindustrian Zhejiang berdepan sejuta jangkitan baharu Covid-19 setiap hari malah jumlah itu dijangka meningkat sehingga dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sementara itu, angka kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara tersebut turut menunjukkan peningkatan susulan ramai rakyatnya demam dan kes kematian meningkat selepas negara itu melonggarkan sekatan.

Selain itu, menurut Dr. Zaliha, semua kes influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) di fasiliti kesihatan khususnya mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir atau mempunyai sejarah kontak dengan individu ke negara berkenaan akan dibuat ujian RTK-Ag Covid-19.

“Ini bagi mempertingkatkan pengesanan sebarang varian baharu juga dan ujian seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif Covid-19,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Dr. Zaliha berkata, pengisytiharan Malaysia sebagai Kawasan Tempat Jangkitan akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023.

Ia bagi memudahkan KKM menjalankan aktiviti pencegahan dan pengawal penularan Covid1-19 menggunakan peruntukan (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2022 [P.U. (A) 397/2022] 83/22.

Pelanjutan ini telah diwartakan pada 27 Disember 2022 melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
(Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2022 [P.U. (A) 397/2022].

Katanya, kesiapsiagaan KKM juga meliputi komuniti yang sehingga kini masih menggalakkan pengambilan vaksin terutama bagi yang berisiko tinggi dan amalan TRIIS iaitu ujian, lapor, mengasingkan, memaklumkan dan mencari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast