Azrin Afiq. Foto Facebook Kedah.

KUALA LUMPUR – Pemain baharu Kedah Darul Aman (KDA), Azrin Afiq berazam ingin memenangi sebanyak mungkin piala bersama pasukan baharunya dan membawa mereka ini ke peringkat Asia.

Berketinggian 1.80 meter, ianya menjadi kelebihan buat dirinya yang beraksi di posisi pertahanan kerana saiz fizikal yang tinggi amat diperlukan di bahagian tersebut.

Jika sebelum ini, Azrin hampir menjulang piala bersama Selangor namun dihampakan oleh Johor Darul Ta’zim di pentas akhir Piala Malaysia, maka sebab itu beliau semakin bersemangat untuk membantu KDA memenangi piala di Malaysia.

”Walaupun saya masih muda, saya nak rasa aura julang piala itu dan saya tidak kisah apa-apa piala kerana yang penting kita dapat piala tersebut dan menjadi piala pertama dalam karier saya sebagai pemain profesional.

”Saya harap dapat beri yang terbaik kepada pasukan dan kita akan melangkah ke Asia kerana saya begitu teringin beraksi di pentas tersebut,” ujarnya.

Biarpun tidak banyak membuat penampilan bersama skuad utama Selangor namun pengalaman yang beliau ada ini amat penting untuk membantu karier di pasukan baharu.

Menurut beliau, faktor jurulatih baharu KDA, Nafuzi Zain juga mendorong dirinya berubah angin ke Utara kerana yakin keupayaan jurulatih itu selain tertarik taktikalnya.

Semua sedia maklum, Nafuzi begitu suka mengutamakan pemain muda dan ini adalah masa terbaik untuk dirinya membuktikan sesuatu kepada penyokong.

Pemain berusia 20 tahun ini pernah membantu pasukan remaja Malaysia di Kejuaraan AFF B-18 2019 sebelum tewas di pentas akhir kepada Australia.

Namun agak malang buat skuad muda ketika itu apabila Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC) telah membatalkan Piala Asia B-19 2020 akibat COVID-19 meskipun mereka layak secara merit. – MalaysiaGazette