Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Bhd (Maybank) melihat dakwaan kebocoran data pelanggan sebagai “amat serius” dan sedang menyiasat dakwaan tersebut yang melibatkan bank itu.

Menurut bank itu dalam kenyataan hari ini, pihaknya sedang menyiasat sama ada dakwaan ini benar memandangkan Maybank tidak mengalami pelanggaran data.

“Bank ingin mengulangi bahawa ia menerapkan keselamatan siber dan langkah-langkah perlindungan data yang kukuh untuk melindungi keselamatan, privasi dan integriti data serta sistemnya,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkongsi satu catatan pengguna Facebook dengan nama “Pendakwah Teknologi” yang mendakwa maklumat pengguna hampir 13 juta rakyat Malaysia daripada Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bocor.

Menurut catatan di Facebook itu, sebuah laman web telah menyenaraikan butiran 3.5 juta pelanggan Astro, 1.8 juta pelanggan Maybank dan 7.2 juta pengundi pada 7.56 malam pada 25 Disember.

Maklumat yang bocor itu didakwa melibatkan ID log masuk, nama penuh, tarikh lahir, alamat dan nombor kad pengenalan.

Fahmi berkata kebocoran data itu adalah serius kerana ia melibatkan sejumlah besar maklumat dan menggesa CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi untuk menyiasat dakwaan pelanggaran data peribadi yang melibatkan pihak-pihak berkenaan dan mengambil tindakan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast