KUALA LUMPUR – Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan sambutan tahun baru sebagai langkah kerajaan berjimat cermat.
Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimennya, Dr. Taufiq Johari, pihaknya mengambil inisiatif untuk menganjurkan program mini secara sederhana di beberapa kawasan seliaannya.
“Sesuai dengan saranan Perdana Menteri ke-10 membatalkan sambutan tahun baharu secara besar-besaran, maka Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani mengambil inisiatif menganjurkan program mini di beberapa kawasan yang lebih memberikan manfaat dan menyantuni rakyat setempat.
“Antara acara program ambang tahun baru 2023 dianjurkan pusat khidmat ini ialah fun run, sepak raga bulat, pertandingan mewarna, senam robik, sukaneka, gunting rambut percuma (back to school).
“Acara gotong royong jejantas bersama masyarakat setempat juga diadakan. Semua acara ini melibatkan kawasan Taipan Square, PPR Paya Nahu dan Taman Sri Wang dalam Parlimen ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Baru-baru ini, Anwar dilaporkan berkata, sambutan Ambang Tahun Baharu yang dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini dibatalkan susulan keadaan banjir dan kesusahan dialami rakyat pada masa ini.
Katanya, oleh kerana beberapa negeri banjir dan mengambil kira kesusahan rakyat, maka sambutan besar-besaran itu dibatalkan. – MalaysiaGazette